KOTA BHARU: Kerajaan negeri memberi kelonggaran sehingga penghujung
Januari depan kepada peniaga rokok elektronik atau vape untuk
menghentikan perniagaan serta mengosongkan premis masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan
negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, keputusan itu diambil
selepas perjumpaan antara pihaknya dengan Pertubuhan Peniaga Vape Melayu
Malaysia (PPVMM) Kelantan.
Namun tegas beliau, notis pengharaman penjualan vape yang berkuat kuasa esok tidak akan ditarik balik.
"Selepas berbincang dengan pihak persatuan, mereka faham dan akur
dengan arahan ini. Ini bermakna kita tetap akan laksanakan pemantauan
dan pastikan peniaga mengambil tindakan sewajarnya bagi mengosongkan
premis.
"Kita faham mereka memerlukan sedikit masa, maka dalam tempoh sebulan
iaitu sehingga 31 Januari, tidak akan berlaku penyitaan. Arahan telah
pun diberikan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tidak menyita
premis terbabit," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Seminar
Tertutup Perbandaran Islam: Pencapaian Majlis Perbandaran Kota Bharu -
Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) Berdasarkan Pelan Induk 2006 - 2015,
semalam.
Kerajaan negeri Kelantan sebelum ini mengharamkan penjualan vape
berkuat kuasa 1 Januari dan mengeluarkan notis selama 14 hari kepada
peniaga vape supaya menghentikan perniagaan dan mengosongkan premis
masing-masing.
Tindakan tersebut mengundang rasa tidak puas hati golongan peniaga dan
pengusaha vape, yang meminta kerajaan negeri memberi tempoh masa lebih
lama untuk mereka menghabiskan jualan bagi mengelakkan kerugian yang
lebih banyak.
No comments:
Post a Comment