Salahuddin menyeru seluruh rakyat dan warga prihatin untuk menyokong himpunan aman #ShutdownSungaiBesi.
PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) menzahirkan sokongan kepada #ShutdownSungaiBesi, sebuah himpunan tunjuk perasaan secara aman bagi membantah kenaikan kos sara hidup, terutamanya kenaikan kos perjalanan dan pengangkutan.
Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata tindakan pemerintah mengizinkan kenaikan kadar tol di lapan lebuh raya dan kenaikan tambang pengangkutan awam menyebabkan rakyat yang sedang dihimpit tekanan ekonomi tersepit tanpa pilihan.
“Mahu tidak mahu, rakyat sebenarnya dipaksa menanggung segala beban ekonomi akibat kegagalan pengurusan kerajaan BN disamping pelbagai skandal ekonomi yang membelit negara.
“Mewakili AMANAH, saya menyeru seluruh rakyat dan warga prihatin untuk menyokong himpunan aman #ShutdownSungaiBesi yang akan berlangsung di Plaza Tol PLUS Sungai Besi pada malam sambutan tahun baru nanti,” kata Salahuddin dalam satu kenyataan yang diterima FMT.
Salahuddin menyeru pengundi supaya berani membuat perubahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang, sebagai mengakhiri kenyataannya.
Menurut penganjur, himpunan aman itu akan diadakan di Plaza Tol Sungai Besi, pada 31 Dis bermula jam 9 malam. Penukaran lokasi dari Jalan Duta ke Sungai Besi itu dibuat kerana lokasinya yang strategik, memudahkan pengendalian kecemasan dan mengambil-kira reaksi keras pihak berkuasa.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur kerana gagal memenuhi keperluan Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.
No comments:
Post a Comment