AKMAL HAKIM
Naib Ketua Pemuda Amanah
Nasional, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata tindakan protes terhadap
Israel perlu diterjemahkan dalam setiap perkara, bukan hanya sukan
semata-mata. - Foto TRP
KUALA LUMPUR, Langkah sekatan ke atas peserta luncur
angin dari Israel dalam Kejohanan Perahu Layar Remaja Dunia Persekutuan
Perahu Layar Antarabangsa 2015 (ISAF YWC 2015) di Langkawi, Kedah adalah
perlu sebagai tanda protes terhadap kezaliman rejim Israel terhadap
rakyat Palestin.
Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd
Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata tindakan protes terhadap Israel perlu
diterjemahkan dalam setiap perkara, bukan hanya sukan semata-mata.
“Tindakan ini disambut baik sebagai
sokongan dan solidariti terhadap rakyat Palestin yang dizalimi oleh
kerajaan haram Israel secara berterusan dengan cara yang amat tidak
bertamadun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Fakhrulrazi turut membidas kenyataan
Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin semalam yang
mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menggunakan sentimen
politik dan peribadi dalam acara sukan antarabangsa itu.
Katanya,
kenyataan Chong telah mengguris hati rakyat khususnya umat Islam dan
pencinta keamanan sejagat yang sangat peduli dengan nasib rakyat
Palestin.
“Sebagai rakan gabungan Pakatan Harapan,
kami berhak menegur DAP dalam hal ini kerana ia menyentuh sensitiviti
umat Islam di negara ini.
“Kami sangat mengharapkan agar DAP lebih
berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan pandangan
khususnya melibatkan sensitiviti umat Islam dan hukum hakam agama,”
katanya.
Semalam, Chong dilaporkan berkata sukan sepatutnya melampaui sempadan politik dan perlu berkecuali daripada politik.
“Menafikan visa mana-mana atlet
berdasarkan kewarganegaraan, agama, atau kepercayaan peribadi mereka
adalah tindakan yang tidak boleh diterima.
“Lebih-lebih lagi kedua-dua atlet itu
adalah juara bertahan. Menafikan visa bagi kemasukan mereka sama seperti
menafikan hak untuk mempertahankan kejuaraan mereka. Perkara ini tidak
boleh diterima dalam mana-mana acara sukan,” kata Chong yang dipetik
Malaysiakini.
Menurut portal itu, Khairy dilaporkan
memainkan peranan dalam penafian visa ke atas peserta Israel, Yoav Omer
dan Noy Drihan berdasarkan dasar diplomatik Putrajaya terhadap Israel.
ISAF YWC 2015 yang berlangsung hari ini
hingga 3 Januari 2016 menerima penyertaan 446 pelayar muda dari 80
negara termasuk Brazil, Argentina, Mexico, Rusia dan Afrika Selatan.
No comments:
Post a Comment