BERNAMA
Timbalan Menteri
Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata pihaknya tidak menerima
sebarang laporan rasmi berhubung pembukaan kilang itu didakwa bertujuan
memonopoli industri yang membawa pulangan RM2.8 bilion setahun kepada
pengusaha sedia ada. - Foto TRP/Mohksin Zamani
KUALA LUMPUR, Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini
menafikan dakwaan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana
Malaysia (Ikhlas) kononnya dua kilang pembuatan perisa vape dipercayai
milik individu berkepentingan dalam kerajaan, akan dibina tidak lama
lagi.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr
Hilmi Yahya berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan rasmi
berhubung pembukaan kilang itu didakwa bertujuan memonopoli industri
yang membawa pulangan RM2.8 bilion setahun kepada pengusaha sedia ada.
“Saya tidak menerima sebarang laporan
rasmi dan kami tiada apa-apa maklumat mengenai dakwaan itu. Kami (KKM)
tidak mensabotaj sesiapa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di
lobi Parlimen di sini, hari ini.
Semalam, media tempatan melaporkan
Presiden Ikhlas Mohd Ridzuan Abdullah mendakwa dua kilang pembuatan
perisa vape akan dibina di Johor serta Shah Alam, dan akan beroperasi
sebaik sahaja Kementerian Kesihatan mewujudkan satu akta baharu mengenai
penjualan perisa vape.
Dalam
pada itu, Hilmi menegaskan KKM tidak bercadang mengharamkan penjualan
vape dan hanya memutuskan mengawalnya meskipun Majlis Fatwa Kebangsaan
semalam, memutuskan hukum penggunaan rokok elektronik dan vape adalah
haram.
Beliau berkata keputusan kementerian dalam penjualan vape adalah keputusan yang diambil di peringkat Kabinet.
Hilmi berkata pihaknya akan terus
mengawal penjualan vape di bawah Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan
Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2011.
Beliau, bagaimanapun berkata ia
bergantung kepada Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan Ketua Pengarah
Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagi membincangkan keputusan
Majlis Fatwa Kebangsaan.
Sementara itu, Hilmi berkata pengharaman
premis penjualan vape di negeri-negeri bergantung kepada Pihak Berkuasa
Tempatan (PBT) yang mempunyai kuasa mengambil sebarang keputusan.
No comments:
Post a Comment