SARAH M.KHIR
Ketua Pembangkang, Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tindakan Kementerian Dalam Negeri
(KDN) yang menggantung penerbitan itu kerana kedua-dua akhbar tersebut
menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai media. - Foto TRP/Mokhsin
Zamani
KUALA LUMPUR, Serangan terkini terhadap kebebasan bersuara dan media dilihat akan merosakkan lagi imej Malaysia di mata dunia.
Perkara itu dinyatakan Ketua Pembangkang,
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang merujuk kepada penggantungan
penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily.
Katanya, tindakan Kementerian Dalam
Negeri (KDN) yang menggantung penerbitan itu kerana kedua-dua akhbar
tersebut menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai media.
“Serangan terkini ini adalah rentetan
dari banyak lagi serangan ke atas media di Malaysia, stesen radio dan
laman berita online telah diberi amaran, dan wartawan juga telah
ditangkap dan disiasat di bawah Akta Hasutan.
“Jangan kita lupa betapa ramai lagi
ahli-ahli politik, aktivis, malah juga kartunis yang sedang dihadap ke
mahkamah di bawah Akta Hasutan hanya kerana mereka berani bersuara,”
katanya dalam kenyataan.
Wan Azizah yang juga Presiden PKR berkata
penggantungan itu membuktikan bahawa pentabiran negara yang ala-ala
kuku besi kelihatan seperti bukan sahaja takut kepada kebenaran.
Malah katanya ia boleh disifatkan
seolah-olah pemerintah negara begitu takut kepada rakyat yang berani
mempersoalkan kewibawaan kerajaan.
“Apakah hari ini kita di berada di tepi
jurang yang terbina akibat dekad-dekad keangkuhan, rasuah dan keruntuhan
sistemik asas demokrasi dan kedaulatan undang-undang?” soalnya.
Katanya meskipun kerajaan mampu melakukan
apa sahaja namun beliau terus menyeru rakyat Malaysia supaya bangkit
untuk membina negara yang lebih baik.
“Inilah satu-satunya Malaysia yang kita ada. Ketepikan perbezaan dan marilah kita sama-sama bangkit untuk menyelamatkannya.
“Ada pihak-pihak yang mahu
memecahbelahkan kita, yang mahu kita berhenti berusaha. Namun kita tidak
akan menyerah kalah. Kita akan bangkit untuk membina sebuah Malaysia
yang lebih baik bersama,” ujarnya.
Terdahulu, KDN menjelaskan tiga sebab
penggantungan permit penerbitan akhbar harian The Edge dan The Edge
Financial Daily untuk tempoh tiga bulan bermula 27 Julai ini.
Sebab pertama adalah tajuk dan cara
pelaporan serta pemberitaan kedua-dua penerbitannya menimbulkan
persoalan dan persepsi negatif kepada masyarakat terhadap syarikat
1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang seterusnya berkait dengan
kerajaan dan kepimpinan negara.
Alasan kedua adalah merujuk kepada
laporan yang diterbitkan turut bersumberkan maklumat yang diragukan dan
belum ditentukan kesahihannya, yang mungkin menggemparkan fikiran orang
ramai dan boleh/mungkin memberi kemudaratan kepada ketenteraman awam dan
kepentingan negara.
Sebab ketiga adalah mengenai isu
berkaitan 1MDB ini sedang disiasat oleh pasukan penyiasat yang telah
ditubuhkan. Oleh itu, adalah tidak wajar pemberitaan yang boleh
menimbulkan persepsi negatif yang dilakukan secara berterusan dan ia
adalah tidak adil kepada syarikat 1MDB seterusnya kepada kerajaan dan
kepada kepimpinan negara.
No comments:
Post a Comment