MALAYSIAKINI
BERSIH 2.0 hari ini mengumumkan himpunan keempat yang akan diadakan pada
29 Ogos hingga 30 Ogos secara serentak di Kuala Lumpur, Kuching dan
Kota Kinabalu.
Himpunan ini akan bermula pada pukul 2 petang hari 29 Ogos dan berlanjut
sehingga melepasi tengah malam 30 Ogos, sepanjang 34 jam.
Ini merupakan himpunan bermalam yang julung kali diadakan oleh BERSIH.
BERSIH mengajak orang ramai turun ke himpunan untuk menuntut peletakan
jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selain menghentikan
segala amalan rasuah dalam kerajaan.
Antara empat tuntutan BERSIH 2.0 dalam himpunan ini ialah membersihkan
pilihan raya, kerajaan, menyelamatkan ekonomi dan menyatakan hak
membantah.
Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah berkata himpunan itu diharapkan
dapat menarik perhatian orang ramai selain memastikan peserta himpunan
benar-benar faham tujuan ia diadakan.
"Masa itu akan ada aktiviti budaya dan bengkel kesedaran.
"Kalau bermalam, kami dapat menarik perhatian orang ramai. Kali ini kita
harap semua peserta benar-benar faham tujuan himpunan BERSIH.
"Kita mahu pembaharuan, kita ingin negara ini menjadi lebih baik tidak kira siapa mengetuai kerajaan," katanya.
10 tuntutan pembaharuan sistem
Mengenai bilangan peserta yang diharapkan, Maria Chin berharap setiap rakyat dapat turun bersama-sama dalam himpunan kali ini.
Katanya, BERSIH turut akan memberi notis kepada polis seperti proses biasa.
Maria Chin berkata sudah sampai masa rakyat Malaysia turun ke himpunan
untuk mengasak Najib meletak jawatan dan menghentikan segala rasuah yang
berlaku sejak zaman pemerintahan bekas perdana menteri Tun Mahathir
Mohamad.
Selain empat tuntutan utama, BERSIH turut mempunyai 10 tuntutan untuk pembaharuan pelbagai sistem kerajaan.
Ini termasuklah pembaharuan pilihan raya, suruhanjaya pemilihan perlu
bertanggungjawab kepada Parlimen, perdana menteri dilarang bertindak
sebagai menteri kewangan, mengadakan pembaharuan Parlimen, dan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertanggungjawab
kepada Parlimen.
Selain itu, BERSIH juga menuntut peguam negara tidak boleh memainkan
peranan pendakwaan, kebebasan maklumat, pengisytiharan harta menteri
dan penjawat awam, pemansuhan akta zalim dan penubuhan Suruhanjaya Bebas
Aduan Dan Salah Laku Polis.
No comments:
Post a Comment