MALAYSIAKINI
Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata kesetiaannya kepada Umno tetap utuh dan sama sekali tidak akan meninggalkan parti keramat itu untuk menyertai parti lain.
Sehubungan itu, timbalan presiden Umno memberi ingatan kepada parti lain
terutama pembangkang, agar tidak mengambil kesempatan untuk memujuknya
menyertai parti mereka kerana kesetiaannya kepada Umno sama sekali tidak
berbelah bahagi.
"Tak payah datanglah untuk memujuk saya (menyertai mana-mana parti) kerana itu semua tak layan.
"Saya 'totok (jati) setotok totoknya' (dalam perjuangan Umno) orang
Melayu yang berjiwa Umno dan saya sama sekali tidak akan pecah amanah
dalam perjuangan (Umno)," katanya ketika berucap selepas menunaikan
solat Jumaat di Masjid Jamek
Panchor.
Sebelum itu Muhyiddin turut menyertai hampir 1,000 jemaah melakukan solat hajat dan tahlil di masjid itu.
Ucapan lebih 40 minit itu adalah yang pertama oleh Muhyiddin selepas
beliau digugurkan daripada senarai Kabinet terbaharu yang diumumkan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa lepas, dan
digantikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan
Perdana Menteri.
Kepulangan Muhyiddin ke Parlimen Pagoh yang juga pertama kali selepas
rombakan Kabinet itu sangat dinanti-nantikan oleh penyokong dan pengundi
beliau yang ingin mengetahui hala tuju perjuangannya selepas ini.
Anggota Parlimen Pagoh itu berkata beliau masih mempunyai tugas besar
untuk perjuangan bangsa, agama dan negara kerana masih mempunyai jawatan
sebagai timbalan presiden Umno.
"Saya masih ada tugas. Saya masih timbalan presiden Umno dan timbalan
pengerusi BN. Ini amanah saya untuk bantu presiden Umno. Apa yang
dilakukan untuk memajukan negara dan mahu rakyat terus menyokong parti
demi agama dan negara," katanya.
Beliau berkata tugas dan amanah itu perlu digalas dengan baik tanpa mengira siapa pun yang menjadi presiden Umno.
"Timbalan presiden Umno adalah untuk bantu presiden Umno, tidak kira
siapa perdana menteri termasuk Najib. Saya kena bantu bekerja dan bantu
Majlis Tertinggi kerana keadaan (politik) hari ini tidak seperti dahulu.
"Saya takut dengan keadaan hari ini jika tidak ada langkah tegas untuk
menanganinya rakyat tidak akan percaya dengan kita lagi," kata
Muhyiddin.
Sehubungan itu, katanya, beliau berhak untuk pergi ke mana-mana bahagian
Umno untuk merasmikan mesyuarat perwakilan bahagian kerana itu adalah
sebahagian tugasnya sebagai timbalan presiden Umno.
Kepada penduduk di Parlimen Pagoh, Muhyiddin juga memberi jaminan
perancangan besarnya untuk merealisasikan Hab Pendidikan Tinggi Pagoh
akan terlaksana juga walaupun beliau bukan lagi menteri pendidikan.
"Ini projek untuk rakyat dan bukannya projek peribadi dan saya berharap menteri berkenaan meneruskan projek ini," katanya.
Kata Muhyiddin lagi, sepanjang kariernya sebagai wakil rakyat di
bahagian Pagoh selama 37 tahun, beliau telah melakukan tugas sebaik
mungkin untuk memajukan kawasan itu.
"Yang penting rakyat boleh menilai apa yang saya buat selama ini," katanya.
Beliau kemudian mengulangi kenyataannya yang menerima dengan baik apa
yang telah ditakdirkan terhadap dirinya kerana beliau yakin ada rahmat
di sebalik penggugurannya daripada Kabinet itu.
Sebelum itu, Muhyiddin mengadakan pertemuan tertutup dengan semua pemimpin Umno bahagian itu di Kompleks Seri Pekembar.
Beliau turut melambai tangan kepada jurugambar yang hadir untuk
merakamkan kehadirannya bersama isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.- Bernama
No comments:
Post a Comment