MALAYSIAKINI
Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan harapan
barisan kabinet baharu dapat bertindak cepat dalam menyelesaikan isu-isu
semasa.
Beliau berkata rakyat menanti perubahan dan kebaikan yang akan dilaksanakan barisan kabinet baharu itu.
"Kalau tunggu-tunggu akan membawa lebih banyak kesusahan. Tindakan cepat
itu yang mesti dibuat segera, untuk membawa apa jua kebaikan sebagai
kesan daripada rombakan," katanya ketika diminta mengulas harapan beliau
terhadap barisan kabinet baharu.
Dalam masa sama, Abdullah berharap barisan kabinet baharu yang
menyaksikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan
Perdana Menteri yang baharu, diberi peluang untuk melaksanakan apa yang
dirancang.
"Bukan satu perkara yang senang tapi saya harap mereka akan berusaha
bersungguh-sungguh supaya apa yang mereka rancang akan membawa
kejayaan," katanya kepada media selepas perasmian Persidangan Kebangsaan
Ekonomi dan Kewangan Islam 2015 di Institut Latihan Islam Malaysia di
Bangi, Rabu.
Dalam rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak pada Selasa, Najib menamakan Ahmad Zahid sebagai timbalannya
bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan dalam barisan
kabinetnya.
Rombakan kabinet itu melibatkan pelantikan tujuh menteri baharu, lima menteri digugurkan dan beberapa pertukaran portfolio.
Diminta mengulas pengaturan masa rombakan tersebut yang dilakukan ketika
siasatan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sedang berjalan,
Abdullah berkata andaian tersebut tidak boleh dibuat sebegitu mudah.
"Beri mereka (barisan Kabinet) peluang untuk menyelesaikan. Kalau tak boleh juga...itu susahlah tu," katanya.
Mengulas pengguguran Muhyiddin daripada barisan kabinet, Abdullah
berkata: "Itu adalah keputusan yang tentu sekali PM sendiri ambil
tindakan. Tentu ada tindakan yang perlu dilaksanakan beliau sendiri."
Dalam masa sama, Abdullah berkata Ahmad Zahid perlu diberi peluang untuk menggalas tanggungjawabnya.
Ditanya mengenai penamatan perkhidmatan tugas Tan Sri Abdul Gani Patail
sebagai Peguam Negara berkuat kuasa 27 Julai, Abdullah berkata: "Itu
mengejutkan jugalah apa yang berlaku."
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam satu kenyataan
semalam mengumumkan perkhidmatan Abdul Gani sebagai Peguam Negara
ditamatkan mulai 27 Julai atas sebab-sebab kesihatan.
- Bernama
No comments:
Post a Comment