Saturday, July 25, 2015

Mampukah Pakatan 2.0 ke Putrajaya tanpa PAS?



Oleh Abdul Muntaqim Abu Bakar


Baru-baru ini Lim Kit Siang mengumumkan perbincangan berkenaan penubuhan gabungan baru pakatan pembangkang sedang berjalan tanpa melibatkan PAS. Manakala Khalid Samad pula memaklumkan, Gabungan Harapan Baru (GHB) bersedia menggantikan PAS dalam pakatan baru tersebut.

Perkembangan ini sebenarnya tidaklah mengejutkan, melihatkan krisis yang berlaku dalam Pakatan Rakyat dalam tempoh setahun setengah ini. Justeru itu, penubuhan PR 2.0 tidak dapat dielakkan bagi menghadapi PRU-14 yang dijangkakan berlaku dalam tempoh dua tahun ini.

Namun begitu perlu dianalisis adakah PR 2.0 ini mampu untuk ke Putrajaya tanpa PAS? Dalam PRU-13, walaupun selalu dicanangkan PR mendapat 52% undi popular, namun secara tepatnya PR memperoleh undi popular sebanyak 50.9% manakala Barisan Nasional pula mendapat 47.4%. Baki 1.7% undi pula diperoleh parti-parti kecil yang lain dan calon-calon bebas.

Peningkatan undi PR pada PRU-13 berbanding PRU-12 ialah sebanyak 4.1%. Manakala daripada angka itu 50.9% yang diperolehi PR pada 2013, PAS menyumbang sebanyak 14.8% undi. Dalam sejarah PRU di Malaysia, tidak kira sama ada PAS bersendirian ataupun bersama dalam koalisi pembangkang, undi popular PAS hampir sekata, iaitu sekitar 15% (hal ini dianalisis Nazri Noor dalam artikel “PAS, undi tetap, kerusi tidak menentu”).

Maka sekiranya dalam PRU-14 nanti berlakunya pertembungan antara BN-PR 2.0-PAS, maka PR 2.0 perlu melihat adakah mereka mampu menuju ke Putrajaya tanpa sokongan sebanyak 15% ini. Mungkin adanya pendapat, PR 2.0 mampu menarik sokongan orang Melayu melalui GHB. Tetapi masih terlalu awal untuk menyatakan demikian. Tambahan pula jangan dilupa dalam Muktamar PAS yang lepas hanya sekitar 20% sokongan yang diberi kepada golongan "progresif".

Mungkin boleh dibuat senario "khayalan" berkenaan apa yang akan berlaku dalam PRU-14 nanti.

Sekiranya PAS secara bersendirian (dalam situasi yang paling teruk) hanya berupaya meraih 10% undi manakala 5% lagi kekal bersama PR 2.0, dan berlaku pula peningkatan undi 4.1% kepada PR 2.0 (sebagaimana lonjakan 2008-2013), maka PR 2.0 hanya berupaya mendapat 45% undi popular sahaja. Keadaan ini sudah tentu menjarakkan lagi peluang PR 2.0 untuk ke Putrajaya berbanding sekarang.
           
Tidak boleh dinafikan, sokongan Islam-Melayu merupakan tunjang kepada politik Malaysia. Dalam PRU-13, rakyat memberikan sokongan kepada PR dengan keyakinan sekiranya PR memerintah negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menjadi perdana menteri dan kuasa politik orang Islam-Melayu tidak tergugat dengan adanya PAS (dan wakil Islam-Melayu PKR) dalam komponen PR.

Tambahan pula dasar bersama PR pada waktu itu menjamin kedudukan hakistimewa orang Melayu, Bahasa Melayu dan raja-raja melayu sebagaimana dalam perlembagaan Malaysia.

Sekiranya PR 2.0 yang bakal dibentuk ini tidak mampu memberikan keyakinan berkenaan aspek tunjang politik Malaysia ini, dibimbangi sokongan daripada pengundi Islam-Melayu tidak akan mampu diraih. Dalam hal ini, untuk melihat GHB mampu mendapat keyakinan masyarakat Islam-Melayu dalam tempoh dua tahun ini amatlah sukar.

Terutamanya mereka terpaksa berhempas pulas menangkis stigma, GHB ini ditubuhkan dengan sokongan DAP, dan sudah tentu sebagai ahli paling "junior" dalam PR 2.0, GHB belum tentu lagi mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan PKR dan DAP.

PR 2.0 juga tidak boleh memandang enteng kehilangan sokongan kekuatan PAS dalam bentuk jentera pilihan raya dan juga mobilisasi ahlinya. Bagi mereka yang terlibat di lapangan, tidak akan menafikan kekuatan dan sumbangan yang diberikan jentera PAS, termasuklah di kerusi yang ditandingi PKR.

Jikalau berlaku pula pertembungan 3 penjuru di kerusi Melayu yang sebelum ini ditandingi PKR, belum tentu lagi jentera PKR mampu untuk menandingi komitmen dan kesungguhan jentera PAS. Dalam hal ini akhirnya yang akan mendapat keuntungan tentunya Umno/BN.

Kalau pada PRU-13 PR menampilkan Anwar sebagai calon PM, maka siapakah pula yang akan ditonjolkan PR 2.0 pada kali ini. Dengan Anwar pada masa ini berada di penjara, adakah Mohamad Sabu (yang tewas pada kedua-dua PRU-12 dan 13) akan dikedepankan? Atau adakah Azmin Ali mampu beroleh sokongan daripada partinya sendiri sebagai calon PM? Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula nampaknya sudah lama tidak kelihatan. Manakala yang keluar di media-media alternatif sekarang ini ialah kenyataan-kenyataan Anwar yang diutus daripada Penjara Sungai Buloh.

Masih banyak aspek yang boleh diulas berkenaan hal ini.

Namun kesimpulan yang boleh dilakukan, kehilangan PAS dalam PR 2.0 adalah sesuatu yang sangat mahal harganya. PAS pada masa ini masih lagi parti yang kedua terbesar selepas Umno, dan dilihat parti yang mewakili masyarakat Islam-Melayu.

GHB pula masih lagi berada dalam kandungan (belum menjadi parti politik) lagi. PR 2.0 tanpa PAS bolehlah diumpamakan menebang pohon yang sudah rendang dan berbuah, untuk digantikan dengan anak pokok yang masih kecil, yang mungkin esok atau lusa mati akibat kekurangan air, atau hancur dipijak manusia- themalaysianinsider.com

1 comment:

Malaysiabaru said...

Bodoh punya analysis

Elooo 20% dari 1000 wakil chai di muktamar... Ahli pas ada 1juta org ... Penyokong ada 5-6 juta...

So analysis bangang apa ko pakai anak beruk woiii

Tolong Admin jgn merapu