KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Sementara MIC 2009, yang
memihak kepada pemangku presiden parti Datuk Seri Dr S.Subramaniam,
menetapkan 6 September sebagai tarikh untuk mengadakan pemilihan
presiden parti itu.
Setiausaha Agung MIC A.Sakthivel berkata pada mesyuaratnya semalam,
jawatankuasa itu juga menetapkan 21 Ogos sebagai tarikh penamaan calon.
"CWC Sementara MIC itu juga meluluskan resolusi melarang pemimpin MIC
di semua peringkat daripada menghadiri sebarang majlis anjuran CWC haram
(diketuai bekas Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel).
"CWC Sementara 2009 itu turut memutuskan mana-mana anggota yang
melibatkan diri dengan pencalonan atau pemilihan yang diadakan CWC haram
ini boleh dikenakan tindakan disiplin dan boleh disekat hak mereka
untuk menyertai pencalonan dan pemilihan yang diadakan CWC Sementara
rasmi 2009," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.
Sakthivel berkata, menurut perlembagaan MIC, presiden parti itu dipilih
oleh semua pengerusi cawangan dan pencalonan peringkat cawangan yang
diadakan dari 10 hingga 12 Julai menyaksikan 2,685 pengerusi cawangan
mengemukakan pencalonan mereka.
Katanya, Jawatankuasa Penyelesaian Pertikaian Pemilihan Cawangan
Negeri, yang diamanahkan tugas menyiasat dan membuat keputusan tentang
pertikaian dan rayuan, mengesyorkan agar 260 cawangan lagi dibenarkan
memfailkan pencalonan mereka.
"1 Ogos ditetapkan sebagai hari penamaan calon dan sekiranya ada pertandingan, ia akan diadakan pada 9 Ogos," katanya.
Sebelum ini, kem Palanivel meminta pencalonan bagi jawatan presiden parti itu diadakan pada 2 Ogos.
Parti berusia 68 tahun in berpecah dua berikutan perbezaan pendapat
yang tercetus antara Palanivel dan Dr Subramaniam selepas Pendaftar
Pertubuhan (RoS) mengeluarkan notis pada 5 Disember tahun lepas yang
meminta parti mengadakan pemilihan semula.
No comments:
Post a Comment