SHAH ALAM: Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Nakhaie Ahmad tidak menolak
kemungkinan Gerakan Harapan Baru (GHB) akan mengikut telunjuk DAP,
sekiranya bergabung dalam pakatan pembangkang kelak.
Nakhaie berkata, GHB tidak akan tampil lebih islamik daripada PAS meskipun ia diterajui beberapa bekas pemimpin parti itu.
Justeru, Nakhaie menjangkakan GHB akan berdepan dengan cabaran setiap kali mahu bertegas bersabit sesuatu isu, membabitkan DAP.
"Dipengaruhi DAP) Kemungkinan itu ada sebab semuanya akan menjadi
liberal. Saya ingat, GHB, DAP akan bersatu dengan pendekatan yang lebih
liberal, Islam yang agak liberal. PKR juga liberal.
"Sebab mereka terdiri daripada kalangan profesional menengah yang mana
mesej mereka tidak sampai ke bawah," katanya kepada Antarapos, hari ini.
GHB kini memerlukan sokongan DAP agar parti politik yang bakal mereka asaskan sedikit waktu nanti dapat diterima rakyat.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga sebelum ini mengakui perbincangan
diadakan bersama GHB dan PKR bagi membentuk gabungan pembangkang yang
baru menerusi Pakatan Rakyat 2.0.
Bukan itu sahaja, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memberi
bayangan bahawa partinya akan menjalinkan kerjasama dengan GHB dengan
menggunakan hujah mahu membentuk permuafakatan politik yang lebih kukuh.
Pimpinan PAS pula tidak henti-henti menempelak tindakan kumpulan
progresif PAS yang membentuk pertubuhan ini yang dianggap sebagai
serangan kepada parti itu dan pemimpinnya selepas kalah dalam pemilihan
baru-baru ini.
Nakhaie, bagaimanapun percaya GHB tidak akan berjaya mempengaruhi ahli-ahli PAS secara keseluruhannya untuk 'beralih arah'.
"Mungkin GHB akan menarik lebih orang muda. Namun untuk mempengaruhi
ahli-ahli PAS secara keseluruhannya adalah sukar," ujarnya.
GHB yang ditunjangi G-18 bakal mendaftar sebagai sebuah parti politik pada pertengahan September depan.
G18 adalah kumpulan yang bekas pemimpin PAS yang kecundang pada pemilihan parti 4 Jun lalu.
GHB dipengerusikan bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, manakala
ahli jawatankuasa interimnya terdiri daripada bekas Menteri Besar
Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, bekas Setiausaha Agung PAS
Datuk Kamaruddin Jaafar, bekas Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, serta
bekas pemimpin kanan parti seperti Khalid, Dr Mohd Hatta Ramli dan Datuk
Dr Mujahid Yusof Rawa.
No comments:
Post a Comment