Monday, December 7, 2009

Ubah sistem belajar demi pelajar pintar: PM

BERNAMA


Sistem dan kaedah pembelajaran serta pengajaran untuk pelajar pintar cerdas perlu diperbaiki serta diperhebatkan selepas sekian lama ia seakan terabai kerana tumpuan lebih diberikan kepada pelajar golongan khas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata sistem pendidikan negara selama ini hanya memberi keutamaan dan tumpuan kepada pelajar golongan khas tanpa menyedari tumpuan yang sama harus diberikan kepada pelajar pintar.

"Selama ini kita lihat dasar pendidikan negara kita ada kelas untuk pelajar biasa dan ada kelas khas untuk pelajar cacat penglihatan, cacat pendengaran, autisme, sindrom down dan segala aspek daripada segi kecacatan dan kelemahan diambil kira tapi kita lupa ada pelajar yang kecerdasan mereka, merupakan golongan luar biasa.

"Luar biasa daripada segi mereka berfikir, luar biasa daripada segi mereka belajar. Mereka juga perlukan pembelajaran yang baik," katanya semasa merasmian perkhemahan cuti sekolah PERMATA Pintar Negara di Bangi hari ini.

Najib berkata sudah tiba masanya aspek pembelajaran dan pengajaran yang sesuai untuk golongan pelajar pintar cerdas diadakan selepas sekian lama ia terbiar sedangkan ia telah lama wujud di negara-negara lain.

"Sudah sampai masanya kita melakukan perancangan untuk keperluan pelajar-pelajar seperti ini. Saya yakin program seperti ini sama ada tadika pintar, sekolah pintar, akan membawa perubahan besar pada pembentukan jati diri bangsa yang lebih hebat untuk masa akan datang," katanya.

Kewujudan projek PERMATApintar, jelas perdana menteri, medium tepat untuk membantu para pelajar pintar memperoleh pendekatan pembelajaran berbeza dan sesuai mengikut kemampuan tinggi masing-masing, sekaligus jambatan untuk negara melahirkan masyarakat berilmu.

"Dalam membentuk sebuah negara gemilang, tiang serinya mestilah merupakan proses pembelajaran dan pengajaran yang boleh melahirkan masyarakat berilmu. Kita sedar bahawa empayar yang boleh bertahan bukan empayar yang bergantung kepada kuasa ketenteraan tetapi empayar yang berteraskan kuasa masyarakat berilmu," katanya.

Mengulas lanjut, Najib berkata projek yang terjalin menerusi kerjasama Pusat PERMATApintar Negara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Bahagian PERMATA, Jabatan Perdana Menteri itu sangat sesuai dan bertepatan dengan hasrat kerajaan dalam membentuk model ekonomi negara yang baru.

Dalam perkembangan berkaitan, perdana menteri turut memuji inisiatif isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dalam mewujudkan projek untuk mengasah dan membantu perkembangan pelajar pintar cerdas agar mampu mencipta kecemerlangan berterusan.

"Walaupun dia isteri saya tapi di mana perlu pujian, seharusnya pujian itu dizahirkan. Beliau dan yang lain sangat komited dan berkobar-kobar dalam menjayakan projek ini.

"Mereka bermesyuarat lebih lama dari mesyuarat jemaah menteri dan ini menunjukkan bahawa mereka sangat komited untuk mencipta perubahan dalam melahirkan generasi masa hadapan yang berkemampuan tinggi," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kebenaran bahawa projek berkenaan bakal berhadapan dengan cabaran yang sangat banyak kerana memerlukan penglibatan dan pembentukan secara komprehensif dan berterusan.

"Teknik untuk mengajar golongan pelajar pintar cerdas ini perlu berlainan daripada kaedah biasa kerana saya difahamkan, mereka cepat berasa bosan. Perkembangan emosi dan psikologi juga memainkan peranan amat penting, justeru tenaga pakar dalam bidang tersebut amat diperlukan, khususnya pakar yang dilatih di luar negara.

"Saya harap usaha ini tidak akan berhenti, tetapi terus diperhebatkan dengan pelbagai program dan kerajaan akan sentiasa memberi sokongan, sumbangan dan bantuan berterusan," katanya.

Terdahulu, Najib dan Rosmah menyempurnakan majlis pecah tanah Kompleks PERMATApintar Negara dan menanam kapsul masa di kawasan kompleks berkenaan.

Kompleks, yang akan dibina di atas tanah seluas lapan hektar di dalam kampus UKM, dijangka mula beroperasi pada Januari 2011.

No comments: