Tuesday, December 8, 2009

Tiga siswa UM didakwa kes 'bini puaka'

Abdul Rahim Sabri


(Kemaskini 3.37pm) - Tiga pelajar Universiti Malaya dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung kes menconteng "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" yang ditujukan kepada isteri perdana menteri Rosmah Mansor.

Ketiga-tiga mereka Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan dan Muhammad Saufi Jelani didakwa bersama dua lagi pelajar Akademi Pengajian Islam (API) yang telah dituduh lebih awal, Mohd Izzuddin Hilmi Mohamad Zaini dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli.

NONEKesalahan itu didakwa berlaku pada 4 pagi 24 Jun lalu di dewan kuliah utama API, beberapa jam sebelum Rosmah hadir untuk melancarkan kempen mengutip derma bagi kanak-kanak Palestin.

Galeri mahkamah penuh sesak dengan anggota keluarga kelima-lima tertuduh dan para pelajar yang hadir sewaktu tiga mahasiswa itu didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen-sekyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani – yang bakal dilalui Rosmah – dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu.

Manakala bagi Seksyen 436, ketiga-tiga dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama. Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Selepas mengaku tidak bersalah, ketiga-tiganya dibebaskan dengan ikat jamin RM3,500 seorang dengan seorang penjamin.

Mereka juga diarahkan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan sepanjang perbicaraan.

Pertuduhan kepada ketiga pelajar itu dibacakan di hadapan Hakim SM Komathy Suppiah kerana hakim yang sepatutnya mendengar kes tersebut Rozana Ali Yusof sedang bercuti.

Ketiga-tiga tertuduh diwakili oleh empat orang peguam yang diketuai oleh Mohamad Arfizi Mohd Ramli, manakala timbalan pendakwa rayanya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar.

Pihak pendakwa memohon kepada mahkamah agar ketiga-tiga agar mereka dikenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun ia dibantah oleh peguam bela yang memohon budi bicara hakim mengurangkannya kerana anak guamnya sedang menuntut dan masih ditanggung keluarga masing-masing.

Tambahan pula, kata Mohamad Arfizi, ketiga-tiga pelajar itu memberikan kerjasama yang baik kepada polis sewaktu siasatan dijalankan.

Hakim kemudian memanggil pegawai menyiasat Inspektor Mohd Najib Mohd Esam, dan bertanyakan sama ada ketiga-tiga tertuduh benar-benar memberikan kerjasama.

Pegawai polis itu menjawab bahawa tiga pelajar terbabit memberikan kerjasama kepada polis sewaktu mereka ditahan untuk soal siasat.

Timbalan pendakwa raya berhujah, jumlah jaminan yang dituntut peguam bela terlalu rendah berbanding dengan tiga pertuduhan yang dibacakan kepada mereka.

Mohd Mukhzany juga memohon agar tiga tertuduh dimestikan melaporkan diri di balai polis terdekat sekiranya mereka dibenarkan diikat jamin.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Komathy membenarkan ketiga-tiga tertuduh diiikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga memerintahkan mereka melaporkan diri di balai polis di Jalan Pantai Baru sebulan sekali.

Hakim menetapkan 12 Januari ini untuk menggabungkan perbicaraan tiga tertuduh baru itu dengan dua lagi rakan mereka, Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen.

Kira-kira 40 rakan pelajar dan ahli keluarga hadir di kompleks mahkamah itu seawal jam 8.30 pagi dan galeri mahkamah kelihatan semakin sesak kira-kira jam 9.15 pagi sewaktu menunggu hakim hadir.

Terdapat juga di kalangan mereka yang tidak dapat masuk kerana ia terlalu sesak dengan mereka yang tiba lebih awal.

Bapa-bapa lima pelajar itu kelihatan berjabat tangan, sementara ibu-ibu mereka saling berpelukan antara satu sama lain, sebagai tanda perkenalan.

Pemimpin pelajar yang hadir antaranya exco Majlis Perwakilan Mahasiswa UM, Mohd Aizat Mohd Salleh, presiden Gabungan Pelajar Islam Semenanjung (Gamis) Mohd Idris Mohd Yusoff dan timbalan pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Muhammad Hilman Idham.

No comments: