Tuesday, December 8, 2009

Tiga siswa cuba bakar fakulti dibicara 12 Januari

Oleh Siti Nurazlinee Azmi


KUALA LUMPUR: Tiga pelajar Universiti Malaya (UM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas tiga tuduhan cubaan melakukan khianat termasuk membakar, menceroboh serta menconteng dinding Dewan Utama Fakulti Akademi Pengajian Islam universiti itu, Jun lalu.

Ketiga-tiga tertuduh, Mohammad Aizat Roslan, 21, Mohammad Shazni Munir Mohd Ithnin, 22, dan Mohammad Saufi Jelani, 21, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim S M Komathy Suppiah dan memohon untuk dibicarakan.

Mereka bersama-sama dua yang sudah dituduh pada 30 Jun lalu, cuba melakukan khianat dengan api di pintu utama dewan fakulti, jam 4 pagi, pada 24 Jun 2009.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 436/511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua dan ketiga, pada masa dan tarikh yang sama, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah dan khianat dengan menyimbah petrol di atas permaidani serta menconteng dinding dewan utama fakulti itu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 447 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda RM3,000 dan Seksyen 427 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar, menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berdekatan.

Komathy yang menyebut bagi pihak Hakim Rozana Ali Yusof memerintahkan semua tertuduh diikat jamin RM3,500 setiap seorang dan memerintahkan semua tertuduh melapor diri di Balai Polis Pantai, di sini setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 12 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes di depan Rozana bagi menetapkan tarikh perbicaraan.

Ketiga-tiga mereka dijamin oleh ibu bapa masing-masing.

No comments: