Tuesday, December 8, 2009

Tiada skim perjawatan, 3 ribu pekerja mangsa penswastaan PPSB

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR: Disebabkan majikan yang didakwa tidak membekalkan kesemua skim perkhidmatan secara telus, lebih tiga ribu pekerja bawahan menjadi mangsa penswastaan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB).

"Sejak 1 Januari 1994 dulu lagi, tiga ribu pekerja ini hanya dibekalkan Skim Perkhidmatan B, (iaitu) pekerja sanggup berhenti dari berkhidmat dengan kerajaan dan masuk skim perkhidmatan swasta." jelas Abdul Rahim Mohd Sultan, bekas juruteknik Kanan Mekanikal (J-002).

Ekoran tindakan majikan PPSB itu, lebih 3 ribu pekerja bawahan tidak mengetahui status perjawatan masing-masing, sama ada masih dalam Skim A (penjawat kerajaan) atau bertukar pada skim yang lain.

Kekeliruan itu, mengakibatkan pekerja terbabit sukar membuat laporan kepada pihak berwajib, apabila majikan mereka membuli mereka di tempat kerja.

"Mereka jadi susah bila mahu melaporkan kepada Tribunal Pekerja dan sebagainya...(disebabkan) mereka tak tahu (status perjawatan) mereka ini masih kakitangan kerajaan atau sudah menjadi pekerja swasta," ujarnya.

"Bila dilaporkan pada Tribunal Pekerja, Tribunal kata mereka tidak boleh bertindak kerana majikan (PPSB) dakwa pekerja terbabit adalah kakitangan kerajaan...tribunal nasihatkan mereka (pekerja) yang dibuli melaporkan pada Biro Pengaduan Awam (BPA)."

"Bila dilapor benda ini (kes buli) pada BPA, mereka minta kita bawakan Terma dan Syarat Perjawatan, sedangkan majikan (PPSB) tidak pernah pun bekalkan Skim Perkhidmatan A kepada tiga ribu pekerjanya (tahun) 1994 dulu."

Beliau juga mendakwa majikannya, PPSB sepatutnya menyediakan semua Skim Perkhidmatan kepada pekerja bawahannya sebagai obsyen, sewaktu Pelabuhan Pulau Pinang diswastakan 15 tahun lalu.

"Sepatutnya waktu perswastaan dulu lagi, PPSB sediakan Skim A (iaitu) pekerja kekal sebagai kakitangan kerajaan yang berkhidmat dengan PPSB, (dan) Skim C (iaitu) pekerja memilih untuk bersara awal iaitu pada 1 Januari 1994 lalu. Tapi, majikan tidak bekalkan Skim A dan Skim C secara opsyen (dan) jujur," tegasnya.

Dalam suatu surat yang ditujukan kepada Pengurus Besar (Sumber Manusia) Tadzaruddin Abdul Manaff pada 26 November lalu, Abdul Rahim turut menasihatkan bekas majikannya agar tidak berbohong dengan para pekerja terbabit dan bersedia menjawab segala pertanyaan berkaitan Skim Perkhidmatan secara profesional.

Terdahulu, Abdul Rahim mendakwa majikannya terlibat dalam kehilangan diesel bernilai RM1.2 juta, yang turut dikaitkan secara tidak langsung dengan beberapa pemimpin Umno Bahagian Tanjong.

Beliau juga mendakwa majikannya melakukan rasuah dan penyelewengan kuasa dalam pembelian kapal pengeruk laut dan alat tukar ganti kapal itu.

Dakwanya lagi, kedua-dua kes tersebut telahpun diketengahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Jun lalu, tetapi sehingga sekarang tidak ada sebarang siasatan serius kepada mereka yang terbabit.

Ekoran beberapa pendedahan yang dibuat, Abdul Rahim mendakwa beliau acap kali dibuli oleh majikannya hatta beliau terpaksa mengambil keputusan untuk bersara lebih awal.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan PPSB Datuk Ahmad Ibnihajar menafikan segala dakwaan tersebut.

No comments: