Sunday, December 6, 2009

“Tiada rombakan kabinet”

SINAR HARIAN ONLINE


SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak akan membuat rombakan Kabinet dalam masa terdekat, tetapi akan melakukan sedikit penyesuaian di peringkat timbalan menteri.

Menurutnya, belum terlintas di fikiran beliau hendak rombakan Kabinet kerana ia akan menjejaskan pentadbiran dan pembangunan yang dirancang.

Kabinet, katanya, baru berusia tujuh bulan. Oleh itu masih terlalu awal untuk membuat rombakan.

Najib berkata, kalau rombakan terlalu kerap, ia akan menjejaskan kemampuan menteri-menteri menjalankan kerja sebab pertukaran yang melibatkan tempoh masa yang pendek ini boleh mengganggu kelicinan pentadbiran kerajaan.

“Saya belum fikir lagi buat masa ini. Rombakan Kabinet boleh dilakukan bila-bila masa, tetapi sekarang tidak perlu kerana Kabinet sekarang baru sahaja dibentuk,” katanya kepada media selepas menyaksikan Kejohanan Badminton Sempena Program Tahunan Isteri wakil-wakil Rakyat (Bakti) Barisan Nasional (BN) 09 di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini, semalam.

Beliau ditanya mengenai khabar angin di kalangan masyarakat bahawa beliau akan merombak Kabinet pertengahan bulan ini.

Najib, bagaimanapun, memberi gambaran bahawa akan berlaku sedikit perubahan dalam kalangan timbalan menteri.

“Ada beberapa perkara di peringkat timbalan menteri yang saya perlu lihat secara terperinci. Bagi jawatan timbalan menteri, saya akan meneliti kesesuaian dan keberkesanan fungsi mereka bagi memastikan perancangan dan pembangunan dapat dilaksanakan sebaik mungkin serta mengikut perancangan,” katanya.

Ditanya mengenai perkara yang akan dibincangkan dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva minggu depan, Najib berkata: “Perjumpaan dengan beliau akan lebih tertumpu kepada lawatan dan perjumpaan pemimpin Islam bagi menyelesaikan masalah pergolakan yang berlaku.

"Malaysia juga ingin mengetahui sikap dan pendirian Thailand berhubung pergolakan yang berlaku di Selatan Thailand kerana sehingga kini belum ada sebarang keputusan muktamad.”

Beliau berkata, lawatan berkenaan juga akan membincangkan beberapa perkara yang membabitkan hubungan dua hala, khususnya mengenai pembangunan ekonomi, sosial dan peluang pekerjaan.

“Malaysia yakin sekiranya Thailand mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih bijak dan ekonomik, tidak akan timbul soal penghijrahan rakyatnya hingga membuatkan mereka memberontak.

“Tidak ada sebab rakyat Thailand memberontak jika peluang pekerjaan yang lebih bijak diwujudkan dan perkara inilah yang akan dibincangkan bersama dalam lawatan berkenaan,” katanya.

No comments: