Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR: Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) mendakwa kerajaan tidak mempunyai satu mekanisme yang jelas untuk menjamin syarikat tempatan yang berkepentingan negara tidak terjejas.
Mahfuz sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi mengambil contoh dua syarikat strategik negara yang terlepas kepada kepentingan asing iaitu Pantai Holding yang mempunyai pemilikan konsesi penswastaan kesihatan dan Padi Beras Negara (BERNAS) yang terlibat dalam sektor pemakanan.
"Apa sebenarnya jaminan keselamatan bahawa hal-hal seperti ini tidak akan berulang. Jaminan kerajaan Ini penting bagi memastikan kepentingan negara kita tidak terjejas.
Lebih 30 peratus saham Pantai Holding dimiliki Syarikat GLC Singapura manakala saham BERNAS pula dimiliki Syarikat Wang Tak yang berpengkalan di Hong Kong baru-baru ini.
Sebelum itu Mahfuz meminta Perdana Menteri menyatakan bentuk mekanisme dan syarat-syarat untuk syarikat asing memiliki saham dalam syarikat tempatan yang berkepentingan negara.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung (BN-Alor Setar) dalam jawapannya memberitahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan langkah meliberalisasi Garis Panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (Foreign Investment Committee-FIC) bagi membolehkan Malaysia terus kompetitif, mesra pasaran serta untuk mewujudkan pasaran modal yang lebih berdaya saing, khususnya dalam konteks pertumbuhan dengan pengagihan.
Sehubungan itu, garis panduan FIC telah dibubarkan dan transaksi perolehan saham oleh syarikat tempatan tidak lagi memerlukan kelulusan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
Pemilikan saham alam syarikat tempatan yang berkepentingan negara oleh kepntingan asing adalah tertakluk di bawah bidang kuasa pengawal selia sektor (Kementerian/agensi Kerajaan) bagi sektor-sektor yang berkaitan.
No comments:
Post a Comment