BERNAMA
PUTRAJAYA: Dakyah orientalis Barat yang masih berdegil menganggap jihad sebagai jalan untuk menyebar agama Islam ke merata tempat di seluruh dunia perlu ditangani semua umat Islam di dunia.
Pengerusi Ulama Sedunia, Prof Dr Yusuf Abdullah Ali Al-Qaradawi berkata, umat Islam perlu memahami konsep jihad dalam ajaran Islam yang sebenar agar dapat membantu mereka mempertahankan hujah berkaitan penyebaran agama Islam.
Menurutnya, selain kefahaman mengenai konsep jihad, pelbagai cara lain pada zaman moden sekarang boleh digunakan untuk menyebarkan ajaran Islam seperti media cetak dan elektronik serta internet.
"Sememangnya Islam mengajar umatnya untuk menyebar ajaran Islam dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Adalah rosak jika ia dibuat sebaliknya dan untuk mengetahui kebenaran sesuatu perkara mestilah terlebih dahulu difahamiperbandingannya," katanya.
Semasa menyampaikan ceramah perdana bertajuk 'Fiqh Jihad' pada majlis Muhadharah Perdana 2009 di sini hari ini, Dr Al-Qaradawi yang juga Pengerusi Fatwa di Eropah berkata, ajaran Islam tidak pernah disebarkan kepada umat manusia secara kekerasan walaupun jihad adalah satu kewajipan. "Sememangnya kekerasan bukan jalan paling bijak untuk menyampaikan syiar Islam. Peperangan menggunakan pedang bukan bertujuan untuk membuka negeri saja. Sebenarnya pedang tidak dapat membuka minda manusia," katanya.
Ulama tersohor dunia Islam yang turut disegani Barat itu yang juga dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan semalam berkata, pemahaman dan pendapat yang kurang tepat mengenai syiar Islam terbukti apabila hotel di sebuah negara jiran hanya meletakkan kitab Injil di setiap bilik kerana merasakan orang bukan Islam tidak boleh memegang kitab suci al-Quran.
Majlis Muhadharah (syarahan ilmiah) itu bertujuan berkongsi pengetahuan dan maklumat Tokoh Maal Hijrah 1431H dengan masyarakat Islam di Malaysia, meningkatkan kesatuan fikrah dan perpaduan serta menjana pemikiran umat Islam di negara ini supaya lebih dinamik dan progresif.
No comments:
Post a Comment