BERNAMA
Seorang yang bergelar Tan Sri telah ditinggalkan di kawasan Semanggol, Perak selepas beliau disamun dan dilarikan oleh dua suspek di Lebuh Farquhar di Pulau Pinang semalam, kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Supt Mohd Nashir Ya.
Beliau berkata kejadian berlaku pada pukul 4 petang ketika mangsa sedang menuju ke keretanya selepas menyelesaikan urusan di mahkamah yang terletak berdekatan.
"Dua suspek lelaki telah muncul secara tiba-tiba mendekatinya dan melarikan mangsa yang juga bekas pengarah sebuah hospital mental dengan kereta mewahnya," katanya di Pulau Pinang hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan awal polis mendapati mangsa yang berusia 80 tahun itu dilarikan dalam kereta Mercedes Benz miliknya sebelum ditinggalkan di Semanggol, Perak.
Difahamkan mangsa telah dibawa membuat laporan di balai polis Semanggol yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari tempat kejadian sebelum membuat pemeriksaan dirinya di Hospital Taiping semalam.
Mohd Nashir berkata siasatan lanjut sedang giat dijalankan dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 5(a) Akta Melarikan Orang dan Menakutkan Saksi Secara Jenayah 1947.
No comments:
Post a Comment