Saturday, December 19, 2009

Syor polis guna facebook alternatif tangani jenayah

BERITA HARIAN ONLINE


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dicadangkan supaya menggunakan khidmat laman web sosial ‘facebook’ sebagai alternatif dalam usaha untuk menyelesaikan kes jenayah.

Ketua Makmal Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan jenayah, Abdul Aziz Md Noor, berkata ini berikutan laman web berkenaan kini diguna secara meluas sebagai medium perantara oleh masyarakat sekali gus dapat membantu pihak berkuasa keselamatan itu dalam memerangi jenayah.

"Sebelum ini kita menggunakan khidmat SMS melalui Rakan Cop tetapi dengan pendekatan baru ini, diharap kes jenayah dapat diselesaikan dengan segera.

"Contohnya dengan memaparkan gambar suspek bagi satu-satu kes melalui facebook, secara tidak langsung orang awam dapat menyalurkan maklumat berkaitan kes itu kepada polis," katanya selepas membentangkan hasil makmal NKRA bagi mengurangkan jenayah pada Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Sunway di sini, semalam.

Selain dapat membantu polis, beliau berkata penggunaan laman web sosial itu juga dapat merapatkan hubungan antara PDRM dan masyarakat.

Abdul Aziz berkata, orang awam juga boleh membuat sebarang laporan dan aduan berkaitan jenayah kepada polis menerusi laman web itu.

"Masalah jenayah sukar dibendung secara bersendirian oleh polis tanpa bantuan dan sokongan masyarakat.

"Jika masyarakat bersama-sama membantu melaporkan apa saja kejadian jenayah kepada polis, kita percaya sasaran untuk mengurangkan jenayah menjelang akhir tahun depan akan dapat dicapai," katanya.

Dalam pembentangan itu juga, orang awam disarankan supaya mendaftar sebagai Rakan Cop bagi memudahkan polis memperoleh maklumat dengan cepat.

"Orang ramai tidak perlu lagi ke balai polis atau berjumpa dengan mana-mana pegawai polis bagi menyalurkan maklumat...hanya guna SMS saja," katanya.

Mengenai pembentangan hasil makmal NKRA itu, beliau berkata maklum balas daripada orang ramai berhubung perkara itu akan dibawa ke peringkat tertinggi untuk tindakan selanjutnya.

"Segala respons dan cadangan dari orang awam yang telah dikemukakan menerusi program yang diadakan ini, akan diserahkan ke Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) untuk diteliti," katanya.

No comments: