Monday, December 21, 2009

Syor adakan ujian calon Pengerusi SPR, Ketua Pesuruhjaya SPRM

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub mencadangkan calon Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menjalani ujian kelayakan dan soal selidik oleh Jawatankuasa Khas Parlimen.

“Jawatankuasa khas mesti soal semua calon layak dan tugas Perdana Menteri hanya untuk mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan tersebut,” katanya dalam perbahasannya sempena Konvensyen Pakatan Rakyat di sini, semalam.

Beliau turut mencadangkan agar tarikh pilihan raya umum tidak melebihi lima tahun bagi memastikan keadilan untuk semua parti politik di negara ini.

“Tepat lima tahun, kita mahukan tarikh pilihan raya diumumkan dan tidak mahu Perdana Menteri ataupun menteri besar memutuskannya dengan kerenah mereka,” katanya.

Antara usul lain yang beliau kemukakan ialah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tabung Haji diletakkan di bawah satu kementerian, desakan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat royalti minyak Kelantan dan mempertahankan keistimewaan Bumiputera di bawah Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

No comments: