Tuesday, December 1, 2009

Sindiket palsu tuntutan projek dikesan

SPRM tahan tujuh orang seleweng peruntukan

Oleh M Hifzuddin Ikhsan


KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan sindiket memalsukan tuntutan projek kerajaan Persekutuan bernilai berjuta-juta ringgit membabitkan beberapa pegawai kanan kerajaan dan kontraktor pembinaan.

Setakat ini tujuh orang, termasuk kakitangan kerajaan dan kontraktor di negeri ini ditahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bersabit kes tuntutan palsu beberapa projek di bandar raya ini.

Pengarah SPRM Sarawak, Samsiah Abu Bakar, berkata lebih ramai individu dijangka ditahan berikutan pegawai SPRM kini dalam proses memperluaskan siasatan ke daerah lain di negeri ini yang mendapat peruntukan dari kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, siasatan itu dijalankan selaras dengan arahan Perdana Menteri di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi memastikan tidak berlaku kebocoran atau ketirisan projek yang dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

"Kita percaya sindiket ini mempunyai rangkaian luas membabitkan pegawai kanan kerajaan dan beberapa pengarah syarikat pembinaan yang terbabit membuat tuntutan palsu ke atas beberapa projek seperti pembinaan rumah rakyat di Santubong.

"Berdasarkan maklumat awal, sindiket ini disyaki turut menyelewengkan peruntukan projek pembangunan di daerah Samarahan, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri, Limbang, Sarikei dan Kapit," katanya pada sidang media di Pejabat SPRM Sarawak di sini, semalam.

Samsiah berkata, sindiket itu dikesan menggunakan lesen milik kontraktor Bumiputera bagi mendapatkan projek tertentu sebelum membuat tuntutan palsu, sedangkan projek berkenaan tidak pernah dilaksanakan.

"Setakat ini siasatan cuma membabitkan peruntukan dari kerajaan Persekutuan dan kita dalam peringkat melakukan siasatan ke atas kakitangan pejabat residen dan daerah berkaitan," katanya.

Difahamkan, kes tuntutan palsu itu mungkin yang terbesar pernah disiasat SPRM di negeri ini.

Samsiah meminta mana-mana kontraktor Bumiputera yang mendapati lesen mereka digunakan bagi melaksanakan projek tertentu tanpa pengetahuan agar melaporkannya segera kepada SPRM.

No comments: