Sunday, December 6, 2009

Seramai 10 Pesakit Positif H1N1 Sehingga Hari Ini

BERNAMA


KUALA LANGAT: Seramai 10 pesakit disahkan positif virus Influenza A (H1N1) daripada 30 kes baru yang dilaporkan sehingga hari ini, di mana tiga daripada mereka dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata daripada tiga yang dimasukkan ke ICU, dua daripadanya berada dalam kumpulan berisiko tinggi iaitu kanak-kanak berumur di bawah lima tahun.

"Sehingga hari ini juga tiada kematian dilaporkan dan 30 pesakit baru itu menjadikan jumlah pesakit yang sedang dirawat di hospital sehingga hari ini ialah seramai 234 orang.

"Jumlah terkumpul bagi jangkitan H1N1 di negara kita pula ialah sebanyak 12,220 kes dengan 77 kematian dilaporkan," katanya dalam sidang media selepas menutup Kem Kepimpinan Belia Mahasiswa Nasional Ke12 anjuran Biro Pendidikan Pemuda MCA di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Jugra, Banting di sini petang ini.

Liow berkata pihaknya telah mengarahkan setiap Jabatan Kesihatan Negeri mempertingkatkan pengawasan di peringkat akar umbi dalam usaha mengawal gelombang kedua H1N1 di negara ini.

"Pengawasan kita sehingga hari ini semua kes ILI (gejala serupa Influenza) tidak melebihi paras 10 peratus (paras berjaga-jaga).

Ramai yang masuk hospital pasal selsema, kalau melebihi (10 peratus) maka ia akan jadi wabak, jadi kita akan pertingkatkan pengawasan dan rawatannya," katanya.

Selain itu, Liow berkata masalah H1N1 di peringkat global masih meruncing di mana World Health Organisation (WHO) melaporkan sebanyak 207 negara telah melaporkan kes H1N1 dengan sekurangkurangnya 8,768 kematian.

No comments: