Parti ambil tindakan segera untuk tentukan kaedah pemutihan ahli: Najib
Oleh Anwar Hussin dan R Magendran
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak, berkata Pendaftar Pertubuhan (ROS) sudah meluluskan pindaan perlembagaan Umno yang dibentangkan ketika Perhimpunan Agung Khasnya Oktober lalu, berkuat kuasa 10 November lalu.
Berikutan itu, Perdana Menteri berkata, Umno akan mengambil tindakan segera untuk menentukan kaedah pemutihan ahli supaya parti itu mendapat senarai ahli terkini.
“Ini disebabkan peraturan baru Umno ini tidak perlu kutip yuran tahunan, jadi amat penting untuk kita menentukan kesahihan ahli Umno.
“Ibu Pejabat Umno akan berhubung dengan semua bahagian untuk menerangkan kaedah pemutihan ini,” katanya yang juga Presiden Umno selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini, malam tadi.
Perhimpunan Agung Khas Umno Oktober lalu meluluskan pindaan perlembagaan, iaitu seramai 146,500 perwakilan bakal menentukan kepemimpinan Umno mulai pemilihan 2011; penghapusan sistem kuota; persidangan mesyuarat perwakilan secara serentak; menambah bilangan ahli jawatankuasa lantikan Wanita.
Selain itu, menjadikan yuran keahlian sebagai yuran seumur hidup; memberi kuasa sayap Pemuda, Wanita dan Puteri untuk meluluskan keahlian baru Umno, dan mengiktiraf sumbangan setiausaha bahagian.
Mesyuarat selama dua jam bermula jam 9 malam itu juga meluluskan program bertemakan 'Umno Juara Rakyat' yang akan dijalankan secara berterusan bermula Januari ini.
“Walaupun kita sebut 'Umno Juara Rakyat' tapi kita akan mengajak bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk bersama-sama dengan Umno di peringkat bahagian melaksanakan pelbagai program yang menepati konsep ini.
“Program ini meliputi pelbagai jenis aktiviti antaranya dalam bidang pendidikan, keagamaan, kerohanian, keusahawanan, ekonomi, sosial dan badan bukan kerajaan (NGO) serta beberapa lagi jenis program yang sudah kita tentukan yang mana garis panduannya diluluskan oleh MT," katanya.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata, Umno atau BN tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sarif, buat masa sekarang.
“Kita tak ambil apa-apa tindakan kerana kes ini masih di mahkamah. Tunggu sehingga proses mahkamah selesai,” katanya.
Pada 24 November lalu, Mahkamah Rayuan menangguhkan sementara keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan kekosongan kerusi kawasan berkenaan selepas Abu Hassan, mewakili BN, tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Abu Hassan masing-masing sudah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Dalam isu berbeza, Najib berkata, beliau tidak pasti mengenai pembabitan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah untuk mengetuai kaukus mengenai royalti minyak Kelantan kerana perkara itu belum disahkan.
Najib berkata, kerajaan juga tidak berhasrat mengambil alih soal penubuhan kaukus mengenai royalti minyak Kelantan yang kini diusahakan oleh pembangkang.
"Nak take over macam mana... kerajaan telah pun membuat pendirian berhubung perkara itu," katanya.
No comments:
Post a Comment