BERITA HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan melancarkan secara serentak 50 Klinik 1Malaysia seluruh negara yang berkonsepkan mesra rakyat pada 7 Januari ini dalam misi menyediakan khidmat kesihatan terbaik kepada penduduk negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata majlis perasmian peringkat nasional itu akan diadakan di Klinik 1Malaysia di Kampung Kerinchi, di sini yang akan mula beroperasi pada 23 Disember ini.
Liow berkata, Klinik 1Malaysia itu akan beroperasi dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari, dan dibuka kepada awam selama tujuh hari seminggu.
“Seorang pembantu perubatan dan seorang jururawat akan ditempatkan di Klinik 1Malaysia dan penduduk setempat boleh mendapatkan rawatan sekiranya mereka mengalami demam biasa, selesema atau luka kecil serta caj RM1 akan dikenakan kepada setiap pesakit.
“Sebagai contoh, di Wilayah Persekutuan saja ada lima Klinik 1Malaysia akan beroperasi iaitu di Kepong, Gombak Setia, Kampung Pandan, Setapak serta Kampung Kerinchi.
“Klinik 1Malaysia di Kampung Kerinchi akan mula beroperasi bermula Rabu minggu depan akan mendapatkan maklum balas penduduk setempat berhubung perkhidmatan yang ditawarkan.
“Saya difahamkan sekitar Kampung Kerinchi terdapat lebih 20,000 penduduk dan dengan adanya klinik berkenaan ia memudahkan mereka terutama warga emas untuk mendapatkan rawatan asas di Klinik 1Malaysia,” katanya.
Liow berkata demikian pada sidang media selepas meninjau tapak klinik 1Malaysia di Blok B, Kuarters Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kampung Kerinchi, di sini, semalam.
Beliau berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM10 juta dalam Bajet 2010 untuk pembinaan 50 Klinik 1Malaysia setiap tahun dan percaya kewujudan klinik berkenaan akan mengurangkan bilangan pesakit luar di bahagian kecemasan hospital kerajaan.
“Konsep Klinik 1Malaysia amat mudah iaitu ia menawarkan khidmat untuk rawatan asas dan bukannya kronik. Jika pesakit mengalami sakit kronik mereka dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital berhampiran,” katanya.
No comments:
Post a Comment