Wednesday, December 16, 2009

Penyata rasmi buktikan Sivakumar masih speaker sah

Johari Jaafar


IPOH : Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) meminta seluruh rakyat melihat penyata rasmi yang telah dikeluarkan oleh kerajaan negeri Perak semasa Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua pada hari Khamis, 7 Mei lalu di Dewan Mesyuarat, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.

Ianya kerana penyata tersebut dengan jelas membuktikan kedudukan V. Sivakumar sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang sah.

Penyata rasmi tersebut juga memperlihatkan suasana sebenar yang telah berlaku.

Turut direkodkan pelanggaran peraturan-peraturan sidang DUN termasuk oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim.

Abdul Rahman dilihat telah mengganggu tugas V. Sivakumar sebagai Speaker pada hari tersebut dengan beberapa tindakan dan arahan yang disifatkan sebagai campurtangan mengatasi arahan speaker.

Sehubungan itu Pemuda PAS Perak mendesak supaya satu Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan untuk menyiasat kemelut yang telah berlaku semasa sidang DUN Perak pada 7 Mei yang lalu, dalam masa yang sama juga meminta supaya tindakan terhadap Datuk Rahman diambil berdasarkan penyata rasmi tersebut yang jelas beliau telah melanggar peraturan sedia ada sebagai penjawat awam.

"Pemuda PAS Negeri Perak juga memohon perkenan Seri Paduka Sultan Perak dan Raja Muda Perak melihat penyata rasmi tersebut sebagai bukti bahawa jelas kelihatan telah dilanggar oleh 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Dr Abdul Rahman dan bentara-bentara yang telah ditugaskan," tegas Setiausaha dewan Pemuda PAS Perak, raja Ahmad Al-His dalam kenyataan medianya di sini semalam.

Oleh kerana itu Pemuda PAS Perak merayu Seri Paduka Sultan Perak dan Raja Muda Perak mengadili kemelut ini dengan kebijaksanaan sebagai raja yang memerintah.

No comments: