Friday, December 18, 2009

Pengecualian bil elektrik bawah RM20 dilanjutkan

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Kerajaan melanjutkan pengecualian pembayaran bil elektrik sebanyak RM20 ke bawah sehingga Disember 2010 untuk kepentingan rakyat, terutama mereka yang berpendapatan rendah.

Keputusan itu juga mengambil kira kedudukan ekonomi negara yang masih belum pulih serta memastikan golongan berpendapatan rendah tidak terlalu terjejas dengan keadaan ekonomi, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui.

Secara purata, 1.05 juta pelanggan kategori domestik (isi rumah) akan menikmati manfaat pengecualian itu pada setiap bulan

“Jika diandaikan setiap isi rumah dalam satu keluarga terdiri dua hingga lima orang, manfaatnya dinikmati lebih ramai orang,” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan di Parlimen, semalam.

Pengecualian pembayaran bil elektrik sebanyak RM20 ke bawah diperkenalkan pada Oktober 2008 ketika pembentangan Bajet 2009 yang sepatutnya berakhir Disember tahun ini.

Chin yang juga Ahli Parlimen Miri berkata, kemudahan ini akan memberi manfaat kepada pengguna selepas kerajaan bersetuju memperuntukkan RM11.9 juta sebulan untuk memberi kemudahan itu.

“Sehingga September lalu, sebanyak RM143.4 juta dibayar kerajaan untuk menampung kos pengecualian pembayaran bil elektrik kepada pengguna domestik yang layak.

“Dijangka kos tambahan yang perlu ditanggung kerajaan bagi meneruskan pengecualian ini bermula Januari 2010 hingga Disember 2010 ialah sebanyak RM143 juta,” katanya.

Beliau berkata, walaupun diberikan pengecualian, kementerian sentiasa menggalakkan rakyat menggunakan tenaga elektrik secara berhemah.

Malah, katanya, kementerian menerbitkan buku Panduan Penggunaan Tenaga Dengan Cekap di rumah dan buku Fiskal Insentif Tenaga Boleh Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga untuk mendidik dan memberi panduan kepada pengguna.

No comments: