Tuesday, December 1, 2009

Penetapan Modul BTN, Khalid Tawar Diri

Hadri Yaziz


Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menawarkan diri menjadi sebahagian daripada individu yang terlibat dalam merangka silibus dan modul kursus Biro Tata Negara (BTN).

Menurutnya perencanaan kandungan modul BTN memerlukan penglibatan semua pihak dan tidak hanya ditentukan oleh golongan tertentu sahaja.

Khalid berkata, bagi memastikan kursus berkenaan menepati tujuannya untuk melahirkan rakyat yang cintakan negara, pihak pembangkang juga seharusnya terlibat dalam merangka kandungan modul kursus berkenaan.

"Saya nak mencadangkan kalau BTN ini benar-benar mahukan seluruh masyarakat bergabung, saya sendiri sanggup menjadi salah seorang yang merencana program-program tersebut."

Beliau berkata demikian kepada TV Selangor ketika menghadiri Pesta Hari Kanak-Kanak dan Kesihatan di Kuala Selangor.

Khalid berkata, pendekatan ini membolehkan semua pihak memantau dan memberi cadangan mengenai unsur yang akan diterapkan dalam modul kursus tersebut untuk mewujudkan kesepaduan di kalangan masyarakat.

Beliau menjelaskan pengumuman mengharamkan pelajar-pelajar dan kakitangan kerajaan Selangor menyertai program BTN merupakan usaha untuk menghalang mereka daripada mendapat input yang tidak sihat.

Ditanya sama ada program SPEIS anjuran kerajaan negeri bakal mengantikan BTN, Khalid menolak kemungkinan berkenaan.

"Tidak semestinya, SPIES lain, SPIES untuk anak-anak muda ini. Biro tata negara ialah untuk menjadikan kita mempunyai semangat kenegaraan," katanya.

Khalid turut menyangkal dakwaan laman blog yang mengatakan program SPIES hanya akan menguntungkan penceramah yang rapat dengan Pakatan Rakyat.

"Kita kerajaan negeri Selangor menggunakan apa yang dipanggil penceramah-penceramah yang kita lantik untuk bagi ceramah berasaskan modul-modul. Jadi bukan kita pilih berasaskan pakatan rakyat tapi kebolehan dan keupayaan penceramah-penceramah tersebut," kata beliau.

No comments: