Friday, December 18, 2009

Penduduk Taman Seri Desa, Bukit Chendering ‘Trauma’ Akibat Hakisan


http://buletinonline.net/images/stories/berita16/P1120356.JPG

KUALA TERENGGANU
- Hakisan tanah di Taman Seri Desa dekat Bukit Chendering disini membuatkan 70 penduduknya ‘trauma’ kerana tidak dapat tidur lena di waktu malam.

Mereka yang mendiami 22 buah rumah teres dua tingkat disitu, semakin bimbang kerana hakisan tanah yang berlaku semakin teruk sejak beberapa minggu lalu.

Hujan lebat musim monsun, serta perparitan yang tidak sempurna dikatakan menjadi punca tanah runtuh dan menghakis lereng bukit tersebut.

Mereka turut mendakwa nyawa mereka terancam kerana kejadian diluar dugaan dan yang tidak diingini boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

Menurut mereka, penduduk yang paling terjejas adalah yang tinggal di lot 1636 hingga 1658 dan lot 1670 hingga 1673.

Mereka amat khuatir ia akan menjadi semakin ‘buruk’ sekiranya pihak berkuasa tidak bertindak dengan segera.

Seorang penghuninya, Encik Chan Eey Keea, 58, mendakwa kejadian hakisan telah berlaku di lereng bukit Chendering sejak tahun lalu.

Katanya, keadaan tersebut menjadi semakin teruk dua bulan kebelakangan ini apabila musim tengkujuh tiba.

“Gelombang musim tengkujuh (hujan) tiga kali melanda negeri (Terengganu) ini dan berlaku hakisan yang teruk. Kami (penduduk) semua tidak lena tidur malam, risau, bimbang dan takut berlaku kejadian yang tidak diingini,” ujarnya.

http://buletinonline.net/images/stories/berita16/Chueng%20Ching.JPGMenurutnya, surat aduan dan rayuan tentang masalah ini telah dibuat kepada pihak Bandaraya Kuala Terengganu pada 1 Disember 2009 lalu.

Beliau berkata, salinan aduan turut dihantar kepada Menteri, Menteri Besar Terengganu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk.

Seorang lagi penduduk, Encik Chueng Ching, 69, (gambar kiri) memohon pihak kerajaan negeri mengambil langkah segera menyelesaikan masalah berkenaan.

Katanya, nyawa 70 penghuni di situ dan beberapa kakitangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang tinggal di bawah lereng turut terancam.

“Kami (penduduk) mahu kerajaan Terengganu ambil langkah segera kerana kami bimbang, risau dan takut sepanjang waktu. Penghuni ada 70 orang yang melibatkan 22 buah rumah teres dua tingkat dan beberapa buah rumah kakitangan LKIM di lereng bukit ini,” jelasnya.

Menurutnya, langkah pencegahan lebih baik dari merawat setelah berlaku kejadian yang tidak diingini nanti.

Manakala Encik Chan Lim Tiong, 63, (gambar kanan) mendakwa sistem perparitan yang tidak sempurna serta pembangunan di lerengnya antara punca hakisan berlaku di Bukit Chendering.
http://buletinonline.net/images/stories/berita16/Chan%20Lim%20Tiong%202.JPG
“Kami (penduduk) sudah tinggal di sini (Taman Seri Desa) lebih 20 tahun dan kejadian hakisan berlaku sejak setahun dua ini. Kita lihat sistem perparitan (longkang) yang tidak sempurna, rosak dan berlaku resapan air di bawah tanah,” ujarnya.

Tambah beliau, pembangunan yang semakin rancak di lereng bukit tersebut serta sekitarnya turut menyumbang kepada hakisan.

Berikutan aduan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mengambil langkah segera meninjau ke lokasi terbabit.

“Saya sebagai wakil rakyat (Adun Batu Buruk) di sini. Hari ini, melawat, meninjau dan akan mengambil langkah lanjut dari apa yang telah dibuat oleh penduduk di sini.

“Saya akan berhubung dengan Dato’ Bandaraya dan Menteri Besar sendiri. Kita (Adun) ada Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu pada 21 Disember 2009 ini.

“Saya akan bangkitkan dalam Sidang Dun itu untuk kepentingan penduduk di sini walau pun penduduk di sini majoriti adalah berbangsa Cina tetapi kita (PAS) tidak mengira kaum dan parti politik.

“Walau pun ada orang MCA atau MIC, kita (PAS) tidak ambil kira. Apa yang penting kita (PAS) hendak bantu penduduk di sini,” jelasnya ketika ditemui selepas melawat lokasi tersebut.

Justeru itu, seorang penduduk terbabit, Encik Ng Geok Ting, 77, merakamkan ucapan terima kasih kepada Adun Batu Buruk, Dr Syed Azman yang turun ‘padang’ melihat lokasi kejadian di taman tersebut.

“Kami (penduduk) ucap terima kasihlah kepada Yang Berhormat (Dr. Syed Azman) dan harap dia (Adun) boleh ketengahkan masalah ini kepada pihak ‘atas’ (kerajaan),” ujarnya.

Penduduk turut memaklumkan, telah berlaku retakan di beberapa buah terutama di bahagian dapur masing-masing kesan hakisan yang berlaku.

No comments: