Thursday, December 24, 2009

Pencuri enjin F-5E patut ditahan ISA

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR . - Polis perlu menahan kesemua individu yang disyaki terlibat dalam skandal kecurian enjin pesawat tempur F-5E serta peralatan berkaitan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali menegaskan, penggunaan ISA merupakan cara terbaik kerana apabila ditahan, pihak berkuasa boleh menyoal siasat mereka tanpa mengira waktu.

''Pihak polis perlu mendapat maklumat secara terperinci bagaimana operasi mencuri ini dirancang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kes kecurian dua enjin pesawat F-5E serta beberapa peralatan avionik berkaitan milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang hilang sejak 2007 dan dipercayai dijual ke sebuah negara Amerika Latin melalui sebuah syarikat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memberitahu, kesemua yang disyaki terdiri daripada anggota lain-lain pangkat (LLP) TUDM serta pekerja awam dan tindakan yang sepatutnya telah diambil terhadap mereka.

Katanya, masih ada di kalangan yang disyaki itu sedang berkhidmat dengan TUDM kerana kementeriannya hanya akan mengambil tindakan lanjut selepas menerima keputusan Peguam Negara berkenaan hal tersebut.

Jelas Ahmad Zahid, syarikat yang terbabit dalam penjualan barangan bernilai lebih RM100 juta itu berpangkalan di ibu kota serta mempunyai cawangan di negara jiran.

Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) menambah, kejadian itu perlu dipandang serius kerana ia melibatkan isu keselamatan negara dan antarabangsa.

''Anggota (TUDM) yang terlibat bukan saja telah melakukan jenayah tapi juga derhaka kepada negara,'' jelasnya.

No comments: