Friday, December 25, 2009

Pemuda Gerakan bidas keangkuhan UMNO

Oleh: Lim Si Pin



Pemuda Gerakan membidas sebahagian pemimpin UMNO yang masih angkuh dan enggan sedar dari sindrom berkhayal. Mereka dengan naifnya menganggap bahawa Barisan Nasional berupaya merampas semula kerajaan negeri Pulau Pinang seandainya Pengerusi BN negeri Pulau Piang ditukar.

Ketua Pemuda Gerakan, Lim Si Pin (gambar kiri) berkata, sesetengah pemimpin UMNO masih belum faham dengan jelas punca utama BN ditolak oleh rakyat. Menurutnya, UMNO sekadar menuding jari kepada parti komponen BN yang lain, tanpa menyedari bahawa UMNO-lah pencetus segala masalah!

"Sekiranya BN, khususnya UMNO ingin merampas balik kerajaan negeri Pulau Pinang dalam pilihan raya umum yang akan datang, maka lebih baik mereka berdepan dengan realiti sekarang--realiti bahawa rakyat mahukan perubahan."

Lim Si Pin menyelar UMNO dalam satu kenyataan ketika mengulas isu permintaan pemimpin UMNO untuk menukar Pengerusi BN di Pulau Pinang.

Beliau berkata, walaupun hampir dua tahun telah berlalu selepas PRU ke-12, namun sesetengah pemimpin UMNO masih tidak berubah, dengan mengekalkan keangkuhannya dan langsung tidak mendukung semangat BN.

"Pada masa yang sama, UMNO harus dengan jelas menyedari sejauh manakah isu Ahmad Ismail menjejaskan kekuatan politik dan perpaduan BN di negeri Pulau Pinang. Sebaliknya, UMNO telah memulihkan keahliannya dengan lebih awal, memberi impak yang besar terhadap BN di Pulau Pinang."

Oleh itu, beliau menasihati pemimpin UMNO yang masih tidak sedar, agar menyedari bahawa kunci untuk merampas semula Pulau Pinang bukan bergantung kepada calon pengerusi BN negeri Pulau Pinang, tetapi sama ada UMNO telah berubah?

Lim Si Pin menegaskan bahawa Pemuda Gerakan menyokong sepenuhnya agar Gerakan terus menyandang jawatan Pengerusi BN negeri Pulau Pinang, dan tidak akan kompromi dalam hal ini!

*Kenyataan media oleh Lim Si Pin, Ketua Pemuda Gerakan.

No comments: