UTUSAN ONLINE
KOTA BHARU - Seorang gadis yang terjunam bersama sebuah kereta dari tingkat atas bangunan pusat beli-belah KB Mall, di sini semalam, tidak pernah memandu kereta sebelum ini.
Bapanya, Said Ismail, 52, berkata, dia percaya anaknya, Nor Ain Said, 17, hanya diminta oleh kenalan lelakinya berada di tempat memandu untuk mengawal kereta yang sedang ditolak.
Katanya, dia juga tidak mengetahui perkara sebenar kerana pemuda yang dikenali sebagai Sabri itu tidak menghubunginya untuk menjelaskan perkara yang berlaku.
"Saya percaya Nor Ain hanya mengikut arahannya (mengawal kereta) tetapi tanpa diduga, enjin kereta hidup dan dia hilang kawalan sehingga merempuh dinding," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chekeli, Nilam Puri, di sini hari ini.
Dalam kejadian semalam, dua pelajar kolej kejururawatan di bandar ini, Siti Nor Amira Samsuddin dan Siti Nor Diana Azman maut manakala seorang lagi parah ditimpa serpihan runtuhan.
Tambahnya, selepas kejadian, ibu bapa Sabri ada datang ke rumahnya selepas menyaksikan berita di televisyen namun mereka juga tidak mengetahui lokasi pemuda itu.
"Saya tidak faham kenapa Sabri menghilangkan diri kerana dia telah berkawan dengan Nor Ain sejak dua tahun lalu dan semalam sebelum mereka keluar, Nor Ain ada menghubungi saya memberitahu keluar dengannya," katanya
Tambah Said, dia sempat berpesan agar mereka balik awal dan semasa kejadian dia berada di Kampung Dewan kerana mempunyai urusan.
"Beberapa jam selepas itu, adik Nor Ain, Nurul Atiqah, 14, yang pergi bersama-samanya ke KB Mall pulang ke rumah selepas dihantar oleh sepasang suami isteri dan menjelaskan kejadian berlaku.
"Saya bergegas ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan mendapati anak saya sedang dirawat di Unit Kecemasan sebelum dimasukkan ke wad 28 hospital berkenaan," katanya.
Said berkata, dia terkejut dan sedih dengan kejadian yang meragut dua nyawa itu tetapi bersyukur kerana anaknya terselamat.
"Nor Ain sedang menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tidak pernah memandu.
"Sebelah tangannya patah dan masih menerima rawatan dan dia masih lemah kerana terkejut dengan apa yang berlaku," katanya.
No comments:
Post a Comment