Friday, December 18, 2009

Keputusan mahkamah percepat siasat

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyoal siasat saksi selepas waktu pejabat diharap dapat mempercepatkan siasatan kes rasuah di negara ini.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan yang menyambut baik keputusan itu berkata, ini kerana kes-kes jenayah melibatkan rasuah tidak mengira masa sama ada siang atau malam.

"Jika kita tangkap waktu petang, kita boleh terus soal siasat pada malamnya, tidak perlu masuk lokap dan soal siasat esok.

"Dengan keputusan ini juga bermakna kes-kes rasuah dapat disiasat lebih cepat tanpa mengira waktu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan SPRM boleh menyoal siasat saksi selepas waktu pejabat bagi tujuan memerangi jenayah rasuah.

Dalam membenarkan rayuan SPRM hari ini, mahkamah itu mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi supaya soal siasat SPRM perlu dilaksanakan semasa waktu pejabat iaitu dari pukul 8.30 pagi sehingga 5.30 petang.

Dalam keputusan sebulat suara, mahkamah memutuskan bahawa Seksyen 30 (3)(a) Akta SPRM tidak menetapkan sebarang tempoh masa bagi SPRM menyoal siasat saksi.

No comments: