UTUSAN ONLINE
KUANTAN - Keputusan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan memendekkan tempoh kontraknya tidak menjejaskan siasatan kes-kes rasuah yang dijalankan oleh suruhanjaya tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ini kerana banyak penyiasatan kes rasuah sebelum ini dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed yang bakal dilantik menggantikan Ahmad Said berkuat kuasa 1 Januari ini.
Beliau turut menolak sebarang andaian bahawa keputusan Ahmad Said itu disebabkan tekanan daripada pihak tertentu.
"Dia ada berjumpa saya, dia kata adalah lebih baik untuk dia pergi kerana kontrak dia habis Mei. Mei hampir setengah tahun, jadi dia nak bagi peluang kepada Datuk Abu Kassim supaya bermula pada tahun baru," katanya kepada kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau ditemui selepas majlis istiadat penganugerahan darjah kebesaran dan pingat sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di sini.
Pada majlis istiadat itu, beliau dianugerahkan darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Mohamed Nazri diminta mengulas keputusan Ahmad Said untuk memendekkan tempoh kontraknya yang sepatutnya berakhir 25 Mei depan kepada 31 Disember ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, keputusan Ahmad Said itu akan memberi ruang kepada Abu Kassim untuk membuat perancangan sepanjang tahun berbanding mengambilalih jawatan Ketua Pesuruhjaya mulai pertengahan tahun.
"Siasatan (kes rasuah) akan diteruskan. Datuk Abu Kassim (berusia) 49 tahun, masa dia banyak. Jadi dia boleh buat perancangan. Adalah baik untuk memulakan perkhidmatan pada tahun baru.
"Jadi, Datuk Abu Kassim akan mula sebagai Ketua Pesuruhjaya pada tahun baru, jadi senang nak buat macam-macam (perancangan)," katanya.
Mengenai tindakan pembangkang yang kemungkinan membuat pelbagai andaian terhadap keputusan Ahmad Said itu, Mohamed Nazri berkata, beliau tidak peduli dengan sikap parti pembangkang yang sememangnya akan sentiasa membuat pelbagai andaian terhadap sesuatu perkara.
"Andaian (parti pembangkang) kita tak peduli. Pembangkang pandai buat macam-macam andaian, (dahulu) nak curi (ambil alih) kerajaan pada 16 September tahun lalu.
"Kita tak peduli apa yang mereka fikirkan, kerana nak pilih masa dan waktu yang sesuai, tidak ada masa dan waktu yang sesuai (bagi pembangkang) kerana pembangkang akan membuat pelbagai andaian," katanya.
No comments:
Post a Comment