UTUSAN ONLINE
KUCHING - Sarawak masih mengekalkan kadar mas kahwin berjumlah RM120 kepada pasangan Islam yang mendirikan rumah tangga di negeri ini.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman (gambar) berkata, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) belum ada cadangan untuk menaikkan kadar mas kahwin kerana tidak mahu membebankan pasangan yang ingin berkahwin.
Bagaimanapun menurutnya, jika terdapat hasrat untuk menaikkan kadar mas kahwin itu, ia pasti tidak akan membebankan pasangan yang terlibat.
''Buat masa ini kita masih kekal dengan kadar RM120.
''Kita belum bercadang menaikkan kadar mas kahwin kerana ia bukan satu isu besar," katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan jemaah haji dari Sarawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenaikan kadar mas kahwin di Selangor.
Khamis lalu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata, mulai 1 Januari tahun depan, kadar mas kahwin di Selangor ditetapkan sebanyak RM300 berbanding kadar semasa iaitu antara RM40 dan RM80 yang dilaksanakan sejak tahun 1978.
Mohamed Khusrin berkata, kadar baru itu dikuatkuasakan setelah mengkaji beberapa perkembangan semasa termasuk menyeragamkan jumlah mas kahwin wanita tanpa mengira status mereka seperti sebelum ini.
Daud yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur berkata, masalah yang dihadapi oleh pasangan Muslim pada masa sekarang untuk berkahwin adalah permintaan hantaran yang terlalu tinggi daripada pihak keluarga wanita.
Katanya, permintaan hantaran tinggi daripada keluarga wanita yang kebiasaannya menjadi bebanan kepada pihak lelaki, bukannya kadar mas kahwin.
No comments:
Post a Comment