Thursday, December 17, 2009

JJ rasmi program di Rompin dari AS



JAMALUDIN Jarjis merasmikan Program Literasi Undang-Undang Etnik Minoriti melalui sidang video secara langsung dari Amerika Syarikat di Rompin, semalam.


ROMPIN 16 Dis. - Berada jauh beribu-ribu batu di Amerika Syarikat (AS), tidak menghalang Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis untuk merasmikan Program Literasi Undang-Undang Etnik Minoriti di Dewan Jubli Perak, Majlis Daerah Rompin di sini hari ini, melalui sidang video.

Sidang video oleh Jamaludin yang juga Duta Besar Malaysia ke AS itu dipancarkan pada skrin besar yang diletakkan di dalam dewan tersebut sambil ditontoni oleh lebih 300 Orang Asli dari 10 buah kampung di sekitar daerah ini.

Dalam persidangan selama 10 minit yang diadakan secara langsung itu, Jamaluddin memberitahu bahawa keadaan di Washington ketika ini hujan.

"Saya sekarang di Washington DC, AS di mana Presiden Barrack Obama tinggal dan di sini pada masa ini adalah pukul 10 malam," katanya yang berada dalam sebuah bilik.

Bercakap mengenai majlis tersebut, Jamaludin berterima kasih kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kerana memilih daerah Rompin untuk diadakan program tersebut.

"Saya meminta penduduk khususnya Orang Asli untuk mengambil kesempatan dalam program itu untuk meluahkan apa saja masalah yang dihadapi mereka kepada Jabatan Pembangunan Wanita dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA).

"Saya minta Jabatan Pembangunan Wanita dan JHEOA supaya tolong tengok-tengok Orang Asli di tempat saya kerana ramai di kalangan mereka berstatus ibu tunggal dan mempunyai anak ramai," katanya.

Jamaludin berkata, beliau akan pulang ke Rompin pada Januari ini selain memberi jaminan akan segera pulang sekiranya daerah ini dilanda bencana banjir.

Sementara itu, Pengarah Penyelarasan, Pemantauan dan Penilaian, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Elfian Satria Yaacob berkata, Rompin merupakan lokasi pertama program itu yang julung kali diadakan khusus untuk Orang Asli.

"Seramai 324 Orang Asli dari sembilan kampung di sekitar daerah ini telah dipilih untuk menghadiri majlis ilmu ini," katanya.

Tambah beliau, program sehari itu bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang keganasan terhadap wanita serta cara menanganinya.

"Pihak kerajaan merasakan bahawa pentingnya pendedahan terhadap cara-cara menangani keganasan serta langkah mudah bagi wanita mempertahan diri atau menyelamatkan diri," katanya.

No comments: