Sunday, December 13, 2009

Gerai OA Pasarkan Kraftangan Orang Asli

Rantai leher masyarakat Orang Asli yang dijual di Gerai OA. -Foto THE STAR Oleh R.K. Shyamala

IDEA menubuhkan Gerai OA mula tercetus hasil satu lawatan ke sebuah penempatan masyarakat Orang Asli kira-kira empat tahun lalu dengan tujuan membantu penduduk di situ memasarkan hasil kraftangan mereka.

Pertemuan dengan seorang wanita Orang Asli pada ketika itu membuat Reita Faida Rahim, 36, merasa terpanggil untuk membantunya memasarkan barang-barang kraftangan secara langsung kepada warga kota tanpa melalui orang tengah.

Menurut Reita, sebelum ini masyarakat Orang Asli sering mengeluh kerana pendapatan yang diperolehi melalui penjualan barang-barang kraftangan mereka tidak seberapa kerana terpaksa melalui orang tengah yang menawarkan harga tidak setimpal dengan hasil kreativiti mereka.

Bertitik tolak dari situ, Reita mengambil keputusan untuk menjual hasil kraftangan masyarakat Orang Asli yang dikumpulkan dari 23 penempatan di seluruh Semenanjung Malaysia.

"Buat masa ini saya menjual barangan yang dihasilkan oleh 100 pembuat kraftangan Orang Asli dari 23 penempatan di seluruh Malaysia dengan harga yang berpatutan," katanya.

Barangan yang dipasarkan di Gerai OA antaranya termasuk hasil kraftangan hiasan rumah, barangan perhiasan seperti rantai dan gelang tangan, buku-buku karangan penulis Orang Asli sendiri serta barangan permainan dan alat muzil tradisional masyarkat itu.



Salah seorang pembantu sedang menjual
kraftangan masyarakat Orang Asli di Gerai
OA. -Foto THE STAR Oleh R.K. Shyamala

Tanpa menggunakan khidmat orang tengah Reita mampu menawarkan harga berpatutan dan Gerai OA hanya dibuka bila dia mendapat ruang niaga secara percuma, contohnya semasa penganjuan sesuatu kempen atau karnival jualan.

Selain itu, pembantu-pembantu Gerai OA menawarkan khidmat mereka secara sukarela tanpa meminta sebarang bayaran, jelas Reita. Mengulas mengenai sambutan warga kota yang amat menggalakkan terhadap Gerai OA, Reita berkata ini mungkin kerana harga yang ditawarkan sangat berpatutan manakala barangannya pula menarik dan bemutu.

Wanita lulusan diploma dalam bidang rekaan grafik ini turut menawarkan nasihat kepada pembuat kraftangan dalam soal pemilihan warna dan sebagainya supaya sesuai dengan cita rasa masyarakat kota.

“Saya menggunakan kemahiran saya sebagai seorang pemegang diploma dalam rekaan grafik untuk memberi tunjuk ajar kepada masyarakat ini supaya barangan mereka laris.

“Ini kerana ada kalanya mereka menghasilkan kraftangan dengan menggunakan warna-warna terang dan kurang diminati pembeli.

“Tetapi mereka sangat kreatif dalam menghasilkan kraftangan ini. Apa mereka perlukan adalah cara yang betul untuk memasarkan barang-barang yang mereka hasilkan,” ujar Reita.



Antara bakul anyaman yang diperbuat daripada
daun nipah di Gerai OA. -Foto THE STAR
Oleh R.K. Shyamala

Selain menolong menjual barang-barang kraftangan masyarakat Orang Asli secara terus kepada warga kota, barangan mereka juga turut dijual secara online.

“Kebanyakkan daripada barang-barang ini habis dijual selepas berada di pasaran online hanya untuk beberapa hari sahaja,” akhiri Reita.

Hasil kraftangan masyarakat Orang Asli ini boleh dibeli menerusi laman web www.eveleyn.com.

No comments: