Friday, December 4, 2009

Ganjaran Kegigihan 25 Tahun 'Hasil Tuaian' Pasar Tani

BERNAMA




Karavan yang digunakan peniaga pasar tani untuk berniaga.-Foto BERNAMA

DIAM tak diam, sudah 25 tahun pasar tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bertapak di negara ini sejak pembukaan pusat pertamanya di Larkin, Johor.

Seiring rentasan teknologi dalam pelbagai bidang, Pasar Tani Fama terus mengorak langkah dalam menawarkan peluang serta bantuan perniagaan yang semakin menarik kepada para petani.

Hari ini kumpulan perintis peniaga pasar tani 25 tahun lalu boleh tersenyum bangga dengan apa yang mereka miliki hasil kerjasama dengan Fama dan bimbingan daripada agensi itu.

Sempena majlis Konvensyen Pasar Tani Kebangsaan bulan lepas, Fama memberi penghargaan kepada petani yang berjaya dalam meningkatkan taraf ekonomi melalui hasil pertanian masing-masing.

Anugerah Usahawan Veteran Pasar Tani ini disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada 25 orang usahawan tani veteran di seluruh negara.

Mereka merupakan antara kumpulan petani pertama yang dibimbing Fama dalam mengkomersilkan hasil pertanian mereka secara meluas.

Pada Konvensyen Pasar Tani yang diadakan itu, Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menyaksikan pertemuan para peniaga pasar tani seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, berhimpun untuk mendengar dan berkongsi pendapat dalam memajukan sektor pertanian, perladangan dan penternakan negara di peringkat akar umbi.

Majlis yang dirasmikan Perdana Menteri itu turut melancarkan tarikan baru pasar tani iaitu Karavan.

Karavan Pasar Tani berkonsepkan perniagaan secara terus menggunakan van sama ada di tapak tetap pasar tani, di kompleks pejabat kerajaan atau di kawasan perumahan bukan secara bersendirian tetapi secara berkonvoi.

Van yang digunakan, yang merupakan milik usahawan sendiri, diseragamkan dengan imej mengikut komoditi yang dijual.

Selain menjual hasil pertanian segar, Karavan Pasar Tani juga menjual produk yang siap dibungkus dan dijual pada harga yang kompetitif.

Bagi penerima Anugerah Usahawan Veteran Pasar Tani 2009, Ronirah Kosni, 53, karavan yang diperkenalkan ini merupakan "hadiah" kepada usahawan pasar tani yang telah lama menantikan penggunaan kenderaan yang memiliki ciri-ciri lengkap sesuai dengan komoditi yang ingin dipasarkan secara terus kepada pelanggan.




Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Badruddin
Amiruldin (tiga, kanan) dan Presiden Persatuan Penjaja dan Perniaga Kecil Melayu
Selangor Datuk Ramli Norani pada pelancaran produk Mas Cotek dan Jom Makan
Buah sempena Karnival Mini MAHA.-Foto BERNAMA

"Karavan ini amat bersesuaian kerana ia mudah, senang diselenggara serta dikawal kebersihannya," katanya.

Ronirah, yang lebih selesa dengan panggilan Kak Nor, berpendapat penggunaan karavan amat memudahkan kerja kerana peniaga tidak lagi perlu mengangkat beban yang berat setiap kali menjaja memandangkan reka bentuk karavan ini memudahkan para peniaga mempamerkan hasil pertanian seperti sayur-sayuran, buah-buahan serta produk makanan dan minuman daripada Industri Kecil Sederhana (IKs) dan barangan lain.

Bermula sebagai usahawan pasar tani di Bilik Sejuk Fama di Johor Baharu pada 1985, Ronirah kini menjaja hasil pertanian seperti pisang, betik dan jagung yang diusahakan di kebunnya sendiri.

Selain itu Ronirah juga mengusahakan penternakan ikan air tawar seperti ikan tilapia, patin dan keli.

Dengan bantuan dan tunjuk ajar Fama dalam pemasaran barang untuk pasar basah dan kering, Ronirah berjaya memasarkan ikan keli hidup ke Batam, Indonesia.

Kejayaan ini merupakan pencapaian yang membanggakan bagi seorang usahawan yang bermula sebagai peniaga pasar tani secara kecil-kecilan.

Anak kelahiran Parit Asam, Simpang Renggam, Johor ini mempunyai enam orang anak dua lelaki dan empat perempuan setelah mendirikan rumahtangga pada tahun 1973.

Hanya anak keempatnya yang mengikut jejak langkahnya dalam mengusahakan perniagaan pasar tani, manakala yang lain memilih bidang kerjaya masing-masing.

PERNIAGAAN AYAM LEBIH BERJAYA

Rakan seperjuangan Kak Nor yang juga antara usahawan perintis pasar tani, Mohamood Abd Rashid, mempunyai cerita yang tidak kurang menariknya.

Bapa kepada empat orang anak, Mohamood, 58, terpilih sebagai peserta Rancangan Tanah Pemuda Seelong Senai di Johor pada 1982.

Mengetahui bahawa Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada ketika itu menganjurkan Rancangan Ayam Berkelompok, beliau memulakan langkah sebagai usahawan dengan menternak dan menjual ayam hidup.

Harapkan panas sampai ke petang, rupanya gerimis di tengah hari. Perniagaan yang dijalankan tidak berbaloi dengan usaha yang dilakukan. Mohamood tidak mendapat pulangan yang memberangsangkan malah terpaksa menanggung kerugian.

Program pasar tani yang diperkenalkan Fama pada 1985 menarik minat Mohamood untuk turut serta.

"Saya amat bersyukur kerana keputusan yang saya buat 25 tahun dulu adalah tepat dan menjamin masa depan saya sekeluarga sehingga sekarang. Saya mula menyertai pasar tani dengan menjual ayam proses.

"Alhamdulillah, bermula dengan menjual 30 ekor ayam proses sehari, sedikit demi sedikit ditambah sehingga mencecah 2,000 sehari di mana pendapatan bersih dianggarkan RM6,000 sebulan," kata Mohamood.

Selain menjadi Pengerusi Pasar Tani Bandar Baru UDA dan anggota Jawatankuasa Pasar Tani Kebangsaan, beliau juga ialah peniaga lelaki pertama yang menyertai pasar tani di Johor ketika itu.

"Ketika itu seramai 20 orang usahawan yang menyertai pasar tani Fama ini. Tetapi disebabkan beberapa faktor jumlah itu mengecil menjadi lima orang sahaja dan saya satu-satunya peserta lelaki manakala empat orang lagi perempuan termasuk Puan Ronirah," katanya.

Sepanjang 25 tahun ini, Fama membantu membangunkan dan meningkatkan pendapatan usahawan pasar tani dengan memberikan pelbagai perkhidmatan yang merangkumi khidmat nasihat dan bantuan dalam menjana perniagaan, merangka strategi pemasaran, membantu mendapatkan lokasi perniagaan yang strategik dan menyediakan latihan serta kursus berkaitan.

Kini memiliki sebuah syarikat yang membekalkan makanan sejuk beku iaitu Mohamood Fresh and Frozen Foods, Mohamood berkata produknya dipasarkan menerusi Pasar Tani Mega Larkin yang beroperasi dua kali seminggu; dan premis Agro Bazar setiap hari di Bandar Baru UDA di Johor.

Selain itu bekalan ayam prosesnya juga disalurkan kepada agensi kerajaan dan swasta, restoran, kedai runcit dan sekolah.

USAHAWAN TANI HARUS BEEMULA DARI AKAR UMBI

Ronirah berkata apa yang beliau harapkan generasi masa kini yang ingin menjadi usahawan pasar tani tidak hanya menumpu kepada peringkat pemasaran sebaliknya bergiat dari mula dengan "menyemai anak benih sehingga hasilnya dapat dituai untuk dipasarkan."

"Kak Nor berharap sangat anak-anak muda sekarang tidak hanya setakat berniaga di pasar tani, tetapi turut sama mengusahakan ladang kerana zaman sekarang sudah ramai peniaga pasar tani, tetapi pengusaha ladang makin berkurangan," kata Ronirah.

"Pulangan berniaga pasar tani memang cepat tetapi dengan mengusahakan ladang sendiri pulangannya lebih lumayan," katanya.

Beliau juga berpendapat jika pusat pengajian tinggi menawarkan bidang pengajian keusahawanan ladang pertanian, para siswazah akan tertarik untuk 'balik ke ladang' dan lebih bersungguh-sungguh mengusahakannya.

Di samping itu, kata Ronirah, dengan wujudnya hab pengumpulan hasil ladang di setiap negeri, hasil tani dapat dipasarkan ke pasar tani secara terus dan segar dari ladang kepada pelanggan akhir.

Beliau amat bersetuju dengan slogan "hasil tani terus dari ladang".

KURANG PENGLIBATAN KAUM CINA

Seorang lagi usahawan veteran pasar tani yang menerima anugerah bersamasama Kak Nor dan Mohamood ialah Chong Nyok Koon, 54, yang memulakan perniagaan pasar tani di pasar tani Seksyen 17 Petaling Jaya pada 1985.

Berasal dari Kundang dalam daerah Rawang, Selangor, Chong menjual buah-buahan dan sayur-sayuran; antaranya betik, tembikai, sawi, kangkung dan taugeh.

Chong mengharapkan agar ramai lagi generasi muda berbangsa Cina dapat melibatkan diri dalam pasar tani.

"Dulu ada 30 orang peniaga pasar tani (di kawasannya)... semua (berketurunan) Cina tapi sekarang sudah susah mahu tengok...

"Saya harap pada masa akan datang lebih ramai kaum Cina berniaga sama dalam pasar tani Fama ini," katanya.

No comments: