Wednesday, December 16, 2009

Eksport koko negara turun 20 peratus

Oleh ZULHISHAM ISHAK


PENAMPANG – Jumlah eksport koko Malaysia pada tahun ini dijangka turun 20 peratus dengan pengeluaran sebanyak 28,000 tan metrik berbanding 30,000 tan metrik tahun lalu.

Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM), Datuk Dr. Azhar Ismail berkata, penurunan itu disebabkan faktor kelembapan ekonomi dunia dan kapasiti pengeluaran yang sedikit.

“Sekarang kita mempunyai ladang koko seluas 20,000 hektar sahaja berbanding 420,000 hektar 10 tahun lalu. Daripada 20,000 hektar ini, sebanyak 12,000 hektar adalah di Sabah.

“Sejak 1999, 400,000 hektar ladang koko ditebang untuk ditanam dengan kelapa sawit,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmi Kursus Asas Coklat Buatan Tangan di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Politik Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Philip Lasimbang.

Katanya, permintaan dalam negara terhadap komoditi tersebut adalah tinggi berbanding jumlah pengeluarannya.

Malaysia katanya, masih mengimport biji koko dari Indonesia yang merupakan negara pengeluar ketiga terbesar dunia dengan kapasiti pengeluaran 460,000 tan metrik setahun.

Beliau memberitahu, bagi mengatasi masalah itu, LKM melancarkan Program Pemulihan Tanaman Koko (PPTK) dan sebanyak RM83 juta diperuntukan untuk usaha tersebut.

“Peruntukkan RM83 juta ini adalah untuk tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan RMK-10. LKM akan beri insentif bagi pekebun kecil yang mahu menanam koko.

“Bagi setiap satu hektar, kita beri RM6,500 untuk fasa pertama iaitu selama lima tahun, bantuan ini dalam bentuk tanaman dan juga kerjasama untuk membangunkan tanah,” katanya.

Bagi fasa kedua, kata beliau, LKM akan memberi bantuan daripada segi baja, cara penjagaan dan sebagainya.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan industri pembuatan coklat buatan tangan dengan menggunakan resipi LKM kerana permintaan kini semakin memberangsangkan.

Jelasnya, jumlah pengeluaran coklat buatan tangan bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini ialah 46.7 tan metrik yang diusahakan oleh 66 usahawan dari seluruh negara.

Menurutnya, dengan kapasiti pengeluaran itu, jualan keseluruhannya dijangka menjangkau sehingga RM3.07 juta.

No comments: