Tuesday, December 8, 2009

Dua ditahan kes kereta terjunam di KB Mall

BERNAMA


Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian sebuah kereta yang menjunam jatuh ke dalam pasar raya KB Mall di Kota Bharu dua hari lepas yang membunuh dua pelajar kolej kejururawatan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata lelaki berusia 20-an itu di tahan pukul 3 petang semalam, manakala yang perempuan ditahan malam tadi di rumah masing-masing.

"Kedua-duanya kini direman beberapa hari bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana dikaitkan menyebabkan kematian dalam insiden itu," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Bharu, hari ini.

Dalam kejadian pukul 5 petang Ahad lepas, dua pelajar perempuan Kolej Kejururawatan Masterskill cawangan Kota Bharu, Siti Nor Amira Samsuddin, 19, dan Siti Nor Diana Azman, 18, terbunuh akibat dihempap kereta terbabit ketika berada di atas tangga bergerak pasar raya itu.

Dua lagi cedera parah iaitu Rashidah Ahmad Lutfi, 24, juga pelajar kolej yang sama dan pemandu kereta terbabit, Nurul Ain Said, 17 - kedua-dua dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Kedua-dua lelaki dan wanita yang dipercayai rakan kepada Nurul Ain menghilangkan diri selepas kejadian itu.

Siasatan lanjut kini tertumpu kepada punca dan sebab kejadian.

Semalam Abdul Rahim berkata struktur tembok penghadang kenderaan di tempat letak kereta tingkat tiga bangunan pasaraya KB Mall yang tidak kukuh dipercayai punca kepada kereta yang dipandu Nurul Ain terjunam ke dalam bangunan.

Beliau berkata sekiranya tembok setinggi 1.8 meter itu dibina dengan bata dengan terdapat tetulang besi di dalam, mustahil ia boleh runtuh sebagaimana yang berlaku itu.

Difahamkan lelaki yang ditahan semalam adalah abang angkat kepada Nurul Ain dan kenderaan Ford Laser TX3 itu telah dipinjam oleh abang angkat berkenaan daripada seorang rakannya untuk membawa Nurul Ain dan adik Nurul Akmal, 14, ke pasar raya itu untuk membeli-belah.

No comments: