KOTA BHARU: Penyertaan begitu ramai golongan muda dalam perhimpunan menyokong kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kota Bharu semalam menunjukkan campurtangan Umno dalam kemelut ini hanya akan meningkatkan lagi populariti Mursyidul Am PAS itu.
Dr Rosli Alaani Abdul Kader yang berucap mewakili pemuda PAS dalam perhimpunan itu berkata pihaknya sentiasa berdiri teguh di belakang kepimpinan Tuan Guru serta tidak akan berdiam diri sekiranya tokoh ulama itu diganggu gugat.
Menurutnya, tidak ada sebab kenapa Tuan Guru meletakkan jawatannya kerana kepimpinannya masih lagi utuh serta berintegriti.
“Hari ini kita beramai-ramai untuk menyatakan sokongan kita kepada Tuan Guru dan tidak sekali-kali membiarkan ada pihak yang ingin mengganggu gugat kepimpinannya,”ujarnya lagi.
Lim Guan Seng yang mewakili belia kaum Cina berkata, belia Cina tidak pernah berasa susah apa lagi tertekan di bawah kepimpinan Tuan Guru, sebaliknya berasa aman dan selesa.
“Kedatangan kita hari ini tidak dibayar sesen pun bukan sebagaimana pihak yang mendesak Tuan Guru baru ini yang dibayar oleh pihak tertentu.
“Namun kita hari ini datang dengan ikhlas, dengan pendirian yang jitu demi untuk mempertahankan Tuan Guru, integriti Tuan Guru jangan cuba dipersoalkan,”ujarnya lagi.
Wakil pemuda India, Tharuman yang turut berucap dalam bahasa ibundanya juga turut menyatakan pendirian yang sama.
Sambungnya, masyarakat India di Kelantan telah banyak mengalami perubahan khususnya dalam era 20 tahun kebelakangan ini.
Turut berucap di perhimpunan itu Ketua Pemuda PKR Kelantan Wan Mohd Khairul Ihsan.
Apa yang menarik golongan belia pelbagai kaum hadir dengan lilitan "We love Tok Guru" di kepala masing-masing.
Sekumpulan belia Cina mempersembahkan tarian singa untuk menarik perhatian hadirin.
Kemelut berkaitan desakan supaya Menteri Besar Kelantan berundur bertukar menjadi panas apabila sekumpulan penyokong UMNO berdemonstrasi di hadapan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri 1 Disember lalu. |
No comments:
Post a Comment