Monday, December 7, 2009

Chua: Pemilihan baru MCA mungkin tak jadi

MALAYSIA KINI


Besar kemungkinan pemilihan baru MCA tidak dapat diadakan ekoran isu teknikal dan perundangan, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau memberitahu demikian selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat (CC) MCA khas di ibu pejabat parti itu di ibunegara pagi ini.

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Chua itu, ditubuhkan untuk menetapkan tarikh dan cara pemilihan baru itu hendak diadakan.

Mesyuarat tersebut berlangsung selama-lama kira-kira sejam.

Chua berkata ekoran banyak isu-isu teknikal dan perundangan yang terbabit, besar kemungkinan pemilihan baru tidak dapat diadakan.

"Kemungkinan (tidak ada pemilihan baru) itu besar sekali," tambahnya.

Chua berkata setakat ini hanya 13 anggota CC, termasuk beliau sendiri, bersetuju untuk meletakkan jawatan masing-masing.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti 12 lagi anggota CC yang bersetuju berbuat demikian.

Menurut perlembagaan parti, pemilihan baru itu hanya boleh diadakan sekiranya sekurang-kurang dua pertiga atau 20 anggota CC meletak jawatan.

Sebelum ini, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 13 anggota CC yang bersetuju meletak jawatan adalah dari kalangan penyokongnya.

Chua juga membayangkan bahawa satu-satunya cara untuk mengakhir krisis kepimpinan MCA sekarang ialah dengan mengadakan pemilihan bagi memilih semula semua penyandang sekarang.

Rabu lalu, mesyuarat jawatankuawa pusat MCA memutuskan untuk menangguhkan mesyuarat agung tahunannya (AGM) yang dijadual berlangsung Sabtu lalu ke tarikh lain bagi memilihkan parti membuat keputusan mengenai pemilihan baru tersebut.

Desakan supaya diadaka pemilihan itu dibuat oleh penyokong Liow tetapi Chua dan presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat mahu ia diadakan selepas bulan Mac depan.

No comments: