Thursday, December 3, 2009

BTN wajar dirombak atau dihapuskan terus

Sofi Wahab


Ramai yang bersetuju dengan keputusan Kabinet merombak sukatan program kontroversi Biro Tatanegara (BTN), yang dipertikaikan Pakatan Rakyat. BTN sememangnya dilihat menjadi medan 'brainwash' pesertanya supaya cintakan bangsa dan negara serta pada masa yang sama diselitkan semangat supaya mengekalkan kerajaan yang ada demi masa depan bangsa melayu dan Islam.

Bercakap kepada media di Parlimen Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata keputusan jemaah menteri itu dibuat bagi menjadikan kursus itu lebih merangkumi pelbagai kaum dan tidak menjadinya sumber perpecahan.

BTN bukan sahaja perlu dirombak malah ianya wajib dihapuskan dengan kursus lain yang lebih menekankan Islam sebagai panduan. Kita kena ingat bahawa Islam sesuai untuk semua kaum dan bangsa. Rakyat bukan Islam boleh menimba nilai-nilai murni (semuanya murni) yang ada dalam Islam untuk mereka amalkan seperti ikhlas, rajin, disiplin, dedikasi, telus, jujur, amanah dan lain-lain.

Memang dari dahulu lagi kursus BTN digunakan untuk 'brainwash' perserta kursus supaya taat setia kepada kerajaan dan Umno/BN. Semangat fanatik Melayu ditanamkan. Melayu, Melayu, Melayu. Malangnya Melayu semakin layu dek kerakusan pemimpin Umno membaham kekayaan negara yang berlegar di kalangan mereka.

Baguslah kalau kerajaan BN sudah sedar akan kepincangan BTN. Namun begitu janganlah ulangi kesilapan lalu dengan menggunakan kursus seperti ini untuk menanamkan semangat cinta kepada bangsa melebihi cinta kepada agama dan negara.

Sepatutnya seorang rakyat yang cinta kepada negara mestilah bersedia membetulkan segala kezaliman dan kepincangan pemimpin negara bukannya menjadi tukang angguk dan 'yes man' seperti ahli-ahli dan pemimpin Umno yang ada sekarang.

Malangnya semakin banyak kursus BTN diadakan semakin takut pula pesertanya untuk berkata benar dan menegakkan kebenaran kerana takut kehilangan pangkat, kuasa dan kedudukan. Akhirnya pentadbiran hancur, organisasi hancur dan negara lambat laun hancur.

Kursus ini mesti menekankan kepada aspek siapa kita sebenarnya, apa tujuan kita diujudkan diatas dunia, apa matlamat kita, apa peranan kita di dunia, apa sumbangan yang mesti kita berikan, ke mana kita akan pergi dan sebagainya. Semua orang faham bahawa Islam mencakupi segenap bidang kehidupan, jika kita mengambil Islam sebagai teras kursus ini Insya Allah tidak akan ada yang tertinggal sedikitpun dalam mengendalikan kursus tersebut.

Sementara itu Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam kenyataannya kepada media semalam, menolak dakwaan bahawa keputusan untuk merombak kurikulum dalam kursus Biro Tatanegara (BTN) menunjukkan kerajaan akur dengan desakan pembangkang.

Sebaliknya, beliau berkata, perkara itu berlaku secara kebetulan memandangkan kabinet sebelum ini pernah membincangkan cadangan untuk merombak kurikulum kursus berkenaan agar selari dengan peredaran masa.

Dalam hal ini kita mahu mendebatkan siapa yang dahulu mencetuskan idea untuk merubah kandungan kursus ini. Apa yang penting ialah apa perubahan yang ingin di bawa dan sejauhmana ianya berkesan dalam meningkatkan semangat patriotik, jatidiri dan motivasi diri supaya para pesertanya menjadi rakyat yang bertaqwa, berintegriti dan berupaya menyumbangkan sepenuh tenaga dalam membangungan tamadun negara. Tiada manfaat dan hanya dakyah untuk memesong pemikiran belia-belia semata-mata. Demikian kesimpulan yang dapat dirungkaikan mengenai kursus Biro Tata Negara (BTN).

Rata-rata rakyat yang berfikiran terbukan mendapati bahawa program BTN merupakan alat Umno dalam menyebarkan dakyah kepada belia-belia yang menyertainya.

Sebahagian dari mereka berpendapat modul-modul yang digunakan banyak menjuruskan kepada perjuangan bangsa yang sempit sehingga mengapi-apikan semangat perkauman tanpa memikirkan impak yang mungkin terjadi dari semangat perkauman yang sempit ini.

Sepatutnya kita harus sedar bahawa negara kita adalah negara berbilang bangsa dan majmuk. Sensitiviti kaum lain mesti dihormati sebagaimana kaum lain mesti menghormati orang Melayu dan agama Islam. Sebab itulah untuk menyelesaikan semua masalah ini modul BTN mesti mengambil aspek Islam sebagai teras kerana terbukti Islam bersifat universal dan sesuai untuk semua kaum tanpa batas masa, tempat dan warna kulit.

Peserta bukan Islam sudah pasti boleh mengambil nilai-nilai murni (100 % murni dalam Islam) untuk mereka amalkan dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Malangnya selepas puluhan tahun BTN dianjurkan jurang semangat perkauman semakin meluas lantaran ianya menekan semangat perkauman sebagai modul utama membakar semangat dan motivasi peserta. Oleh sebab itu juga tidak ramai golongan bukan Melayu yang berminat dengan program BTN kerana ianya tidak mencakupi semua permasalahan dan tidak sesuai untuk semua kaum.

Jadi keputusan kerajaan Selangor menghalang pelajar-pelajar IPT di bawah kerajaan negeri Selangor dan kakitangan jabatannya menghadiri kursus BTN memang kena pada tempatnya. Selagi ianya tidak diperbetulkan maka selagi itulah ianya tidak sesuai untuk mendoktrinkan rakyat menjadi rakyat yang dapat menyumbangkan sesuatu yang bermakna kepada negara.

No comments: