Tuesday, December 22, 2009

Bicara kes rasuah Norza ditangguh Isnin, Selasa depan

BERNAMA


TEMERLOH: Perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria dan ejennya, Halimi Kamaruzzaman ditangguhkan pada 28 dan 29 Disember ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Azuar Che Yusof, menetapkan tarikh tersebut selepas peguam yang mewakili tertuduh, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah tidak dapat menghadiri perbicaraan yang telah ditetapkan pada hari ini.

Mohamad Norza, 43, yang juga bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, dituduh memberi suapan RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi Halimi untuk diagihkan kepada perwakilan sebagai dorongan untuk mengundinya memenangi jawatan MT pada Perhimpunan Agung Umno Mac lalu.

Dia juga dituduh memberi suapan RM1,900 kepada Mohammad Anuar Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama.

Kedua-dua tuduhan itu didakwa dilakukan di No 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh pada 6.30 petang, 20 Januari lalu.

Halimi, 47, dari Taman Medan Mahsyur, Bandar Indera Mahkota, Kuantan, pula dituduh memberikan suapan itu kepada Khadri dan Mohammad Anuar pada tarikh dan di tempat yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi. -

No comments: