Hasmi Hashim | |||
|
Tak sungguh orang tak kata.
Tahun hadapan lagi sakit. Budayawan atau mereka yang bekerja di dalam "industri budaya" nampaknya senasib dengan golongan bawahan yang melarat dan terabai seperti sebahagian besar kaum tani, nelayan, atau pemandu teksi.
Diumpan dengan janji manis tetapi ia tidak lebih daripada hanya mainan di bibir pemimpin politik yang berkuasa.
Peruntukan RM100 juta yang diumumkan perdana menteri Najib Razak dalam Bajet 2010 terlalu ciput berbanding keseluruhan keperluan pembiayaan untuk memulih dan memugar kembali industri filem, animasi dan muzik - tiga bidang pengkhususan yang disebut Najib antara yang layak membuat permohonan pinjaman daripada jumlah dana berkenaan.
Dana tersebut diselenggara oleh Bank Simpanan Nasional (BSN).
Tempoh hari ada juga segelintir penggiat budaya terpukau seketika, senyap-senyap memuji dan bersyukur kepada Najib atas "insentif" pemimpin negara itu. Tanpa disedari, jumlah tersebut dalam bentuk pinjaman. Ia bukan insentif, apatah lagi geran.
Dalam erti kata lain, ia sebenarnya sejenis "suntikan modal" kepada BSN itu sendiri, selain bank tersebut bakal memperolehi pula keuntungan apabila mengenakan kadar faedah kepada peminjamnya - iaitu syarikat penerbit.
Dari sudut ini, kejujuran Najib dipertikai sama sekali.
Yang tidak diberitahu kemudiannya ialah total bajet untuk lapangan seni-budaya telah susut teruk. Khususnya bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, gabungan tiga kementerian sebelum ini.
Untuk penerbitan program RTM, potongannya hampir separuh. Daripada sekitar RM404.1 juta, tahun ini, kepada RM224.3 juta tahun hadapan.
Potongan bajet kira-kira RM179.8 juta itu dengan sasaran pembelian dan penerbitan program di RTM dalam jumlah yang sama. Misalnya, rancangan TV yang diterbitkan RTM perlu kekal dengan keseluruhannya berjumlah 800 rancangan sama ada tahun ini atau tahun hadapan.
Jam siaran memang mustahil dikurangkan; sama seperti setiap hari tetap 24 jam. Maknanya, peruntukan bagi setiap rancangan akan mengalami potongan purata 50 peratus sekiranya diambil nisbah potongan keseluruhan daripada anggaran bajet untuk program RTM.
Apakah dengan wang ini, maka kualiti program RTM dapat ditingkatkan? Tentulah mustahil.
Kita tahu RTM kini mempunyai satu rancangan khas muzik video di Astro. Namun, rancangan tersebut yang diharapkan dapat mempromosikan lagu dan artis tempatan juga sukar dijayakan apabila kos penerbitan bagi setiap klip video, yang diberikan RTM, hanya sekitar RM2,500 ke RM3,000 sahaja.
Dalam hamburan beratus-ratus dan berjuta-juta ringgit, yang sampai di peringkat bawah hanya sisa dua hingga tiga ribu ringgit sahaja!
Untuk rekod, "kos semasa" bagi sesebuah klip video, paling kurang, lazimnya diperlukan sekitar RM5,000 ke RM10,000. Kos itu untuk kumpulan produksi yang sederhana.
Walaupun karya sesuatu yang dianggap "subjektif" dari sudut idea atau produksinya, namun asas perbelanjaan adalah tetap dan tidak dapat dielak.
Keluhan pegawai dan pelukis tidak berpenghujung. Bajet untuk Balai Seni Lukis Negara (BSLN) juga dikurangkan daripada RM16 juta tahun ini kepada RM11.6 juta tahun hadapan.
Bayangkan, bagi sebuah institusi yang objektifnya mengembangkan kepentingan seni lukis, bajetnya hanya RM11.6 juta.
Sekiranya disemak Anggaran Perbelanjaan 2010 kerajaan yang dibentang di Dewan Rakyat sejak dua minggu lalu, satu angka yang agak besar telah diperuntukkan kepada Perpustakaan Negara, iaitu RM95.3 juta. Angka tersebut penambahan sekitar RM80 juta daripada peruntukan tahun lalu.
Beberapa ahli-ahli Dewan Rakyat bangkit dan menegur Rais Yatim, menteri kebudayaan, ketika sesi jawapan menteri di peringkat jawatankuasa, 10 Disember lalu.
Rais perlu memberi perhatian khusus kepada keadaan dan kondisi Perpustakaan Negara di Jalan Tun Razak.
Bukan hanya jumlah koleksi bukunya yang tidak mendapat perhatian - dengan judul-judul yang masih dikatakan terlalu kurang - malah persekitaran bangunannya juga kini "seperti pasar malam"; langsung tidak menggambarkan sebuah gedung yang sewajarnya terlihat berprestij dengan caranya.
Keduanya, kesan langsung peruntukan sebesar itu tidak akan dinikmati oleh golongan seniman dan budayawan, waima oleh penulis-penulis buku dan sasterawan sekalipun.
Kesan langsungnya kepada penerbit atau yang "paling kenyang", kalangan syarikat pembekal buku kepada perpustakaan berkenaan.
Harus sentiasa diingatkan bahawa ia tidak akan pula menjamin koleksi buku di Perpustakaan Negara akan menjadi begitu baik; kalau pemilihan buku-bukunya masih dibuat dengan cuai sekali; walaupun konon itulah yang menjadi objektif Perpustakaan Negara tahun hadapan.
Keupayaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dianggap sebagai agensi utama yang menjaga kepentingan bidang penulisan juga mengalami potongan bajet agak besar, iaitu daripada RM103.1 juta tahun ini menjadi RM92.1 juta tahun hadapan.
Potongan bajet sehingga RM11 juta itu dilakukan tatkala DBP sebulan lalu mengeluh yang kedudukan kewangannya meruncing.
Sebagai rekod, DBP diletakkan bawah Kementerian Pelajaran, dan bajet keseluruhan kementerian tersebut juga susut daripada RM32.2 bilion tahun ini kepada RM30 bilion tahun hadapan.
Satu lagi bukti bagaimana kerajaan tergamak mengorbankan kepentingan pendidikan nasional.
Berbalik kepada isu kebudyaan, kita boleh mengukur penguncupan industri hiburan terus berlaku jika diukur dengan beberapa aspek dan produk hiburan. Misalnya kos penghasilan album juga jatuh.
Kalau sekitar akhir 1980-an dan awal 1990-an, sesebuah album menelan belanja sehingga RM300 ribu untuk diterbitkan tetapi hari ini di bawah RM50,000 sahaja. Kita tidak lupa bagaimana penghasilan album "Ella USA" itu sahaja menelan belanja sehingga RM1 juta.
Faktor kos penghasilan album (atau produk-produk lain kesenian yang komersial) juga diakui sangat bergantung kepada pasaran dan permintaan; tetapi keadaan itu tidak bermakna kerajaan boleh lepas tangan untuk tidak menyediakan prasarana dan insentif kepada bidang kebudayaan ini.
Apa yang saya maksudkan "prasarana" bukan hanya dalam bentuk bangunan dan perkakasan teknologi, tetapi juga dalam bentuk geran dan biasiswa sebagai sistem sokongan, selain potongan cukai yang wujud hari ini.
Peruntukan kepada Istana Budaya (IB) juga semakin dan semakin dikurangkan tahun demi tahun, sekurang-kurangnya sepanjang tiga tahun dari 2008. Pada tahun berkenaan, bajetnya RM28.9 juta, sebelum dipotong menjadi RM26.6 juta (kurang RM2.3 juta), dan dikurangkan lagi tahun hadapan kepada RM22.5 juta. Potongan berbanding tahun lalu sahaja ialah RM4.1 juta!
Dikhuatiri, potongan bajet saban tahun ini akan menjejaskan prestasi dan kualiti persembahan di Istana Budaya, seraya rungutan penggiat seni mulai terdengar.
Maka, trend sedemikian dengan sendirinya membuktikan bahawa pembinaan pentas seni persembahan itu lebih sedekad lalu bukan dengan niat menampung dan mengembangkan acara seni persembahan, melainkan demi kepentingan "projek fizikal" semata-mata.
Bertambah parah, dengan jumlah peruntukan yang semakin sedikit, Istana Budaya mulai menjadi lubuk propaganda murahan rejim autokratik. Yang bakal dipentaskan tahun hadapan, konsep yang dikatakan "berlainan sedikit", kononnya bersesuaian dengan konsep "1Malaysia".
Angka "satu" Najib itu mula bertaburanlah di pentas Istana Budaya daripada "Konsert Satu Suara" sampailah konsert bersama Amy (Search) yang diberi nama "Konsert Satu Masa".
Lebih melemaskan, apabila pada hujung September 2010, turut dijadualkan dipentaskan "Teater Muzikal Che Det" - didedikasi khas kepada Dr Mahathir Mohamad! Apa erti semuanya ini kalau bukan dakyah, propaganda dan bodek?
Nampaknya, perlahan-lahan Istana Budaya bakal mengekori persis hambarnya RTM.
Pemotongan bajet lazimnya akan melemahkan semangat penggiat seni untuk memerah kepala mencurahkan hasil terbaik.
Maka tidak hairanlah kalau kualiti kerja mereka juga merosot dan perlahan-lahan lapangan seni budaya, sebagai antara tunjang tamadun kita, akan semakin lemah menuju lumpuh.
Hasmi Hashim seorang pengkritik budaya dan penulis rencana yang bergiat aktif bersama PKR
No comments:
Post a Comment