Tuesday, December 15, 2009

Anak Nik Aziz masuk gelanggang siber

Jimadie Shah Othman


Anak perempuan menteri besar Kelantan - Nik Amalina Nik Aziz - menerokai gelanggang siber dengan membuka blog sendiri Jumaat lalu yang turut mengulas pergolakan politik dalaman Kelantan yang dikaitkan dengan suaminya, Abdul Ariffahmi Ab Rahman.

Nik Amalina menjadi tumpuan ramai apabila blog ahli Parlimen PAS, Dr Siti Mariah Mahmud menyiarkan surat anak Datuk Nik Aziz Nik Mat itu, yang meluahkan perasaan berhubung isu peletakan jawatan suaminya itu sebagai ketua pegawai ekskutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Abdul Ariffahmi Ab Rahman.

Dalam blognya Sari Suri - Nik Amalina - anak kesembilan Nik Aziz - turut mengulas mengenai kehidupannya sebagai seorang suri rumah dan cabaran membesarkan anak-anak hasil perkahwinanya dengan Abdul Ariffhami sejak 10 tahun lalu.

Antara tulisan awal dalam blognya kelmarin, Nik Amalina dilihat cuba menggeletek seorang exco negeri itu, yang tidak dinyatakan namanya.

Dalam tulisannya yang berjudul "Alahai...", Nik Amalina berpendapat, hanya seorang exco Kelantan wajib meletakkan jawatan, bukannnya semua.

"Kalau ditanya saya, tentunya saya jawab, kalau adapun exco yang patut letak jawatan, saya wajibkan seorang exco itu saja yang letak jawatan.

"Ada berani exco yang seorang itu menyahut cabaran?" cabarnya.

Nik Amalina dipercayai mengulas kenyataan bekas pegawai perhubungan korporat PMBK Syed Azidi Syed Abdul Aziz - yang bertembung dengan suaminya - yang berpendapat suratnya dalam blog Dr Siti Mariah tentang 'persidangan meja bulat' Nik Aziz, secara tidak langsung menyinggung peranan exco negeri.

Syed Azidi berkata, kalau diikutkan pandangan Nik Amalina itu, semua exco kerajaan negeri patut meletakkan jawatan kerana ia menggambarkan keputusan melantik Abdul Ariffahmi dibuat dengan merujuk kepada ahli keluarganya semata-mata.

Sementara dalam tulisannya kelmarin, walaupun Nik Amalina tidak menyebut langsung nama exco yang dirujuknya, beliau diketahui tidak selesa dengan pengaruh Datuk Husam Musa - exco kanan kerajaan negeri yang dilihat rapat dengan Nik Aziz.

Abdul Ariffahmi kini bergelut dengan kontroversi pelantikannya sebagai CEO PMBK. Beliau telah dilaporkan berkata akan menyerah notis tiga bulan pada 24 Disember ini dan peletakan jawatannya akan berkuatkuasa pada bulan Mac depan.

Selain berdepan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegaran Rasuah (SPRM), Abdul Ariffahmi juga sering diasak oleh 'musuhnya' Syed Aziz melaluinya blog Kickdafella yang mempunyai ramai pembaca.

Nik Amalina kini terbabit sama dalam konflik terbuka tersebut apabila beliau dengan penuh emosi, mempertahankan suaminya, sekaligus mengkritik keras Syed Azidi dalam tulisan yang disiarkan dalam blog Dr Siti Mariah bulan lalu.

No comments: