BERNAMA
KUALA LUMPUR – Sebanyak 48 buah helikopter, kebanyakannya milik Angkatan Tentera Malaysia, selain bot penyelamat sudah bersedia dikerah ke seluruh negara bagi pelbagai operasi menyelamat terutama kawasan yang kini dilanda gelombang ketiga banjir.
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata, helikopter itu sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk dikerahkan sekiranya berlaku keadaan perhubungan jalan dan telekomunikasi terputus.
“Semuanya dalam siap sedia. Apabila berlaku apa-apa seperti terputus hubungan, tak dapat akses pada mana-mana tempat dan kalau bot pun tak boleh memasuki sesuatu kawasan, maka jalan yang terbaik ialah menggunakan helikopter,” katanya.
“Helikopter, mana-mana pun boleh masuk dan kalaulah berlaku kecemasan, kalau kita nak keluarkan pesakit yang terperangkap ke hospital, maka helikopterlah cara yang terbaik,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Pusat telah mewujudkan bilik gerakan yang lengkap dengan talian terus untuk makluman mengenai kenaikan paras air dan menyelaras usaha pemindahan.
Kata Mohamed Thajudeen, berdasarkan kajian dan ramalan Jabatan Meteorologi, bilik gerakan boleh menjangkakan kemungkinan banjir terutama apabila hujan lebat dan membuat persediaan awal.
Menurutnya, sebanyak 105 buah bot penyelamat yang berharga lebih RM4 juta telah dihantar ke negeri-negeri yang menghadapi banjir serius.
“Di Kelantan kita telah hantar bot sebelum banjir lagi, begitu juga di Sarawak kita dah hantar semalam walaupun belum banjir lagi di sana,” kata beliau.
Katanya, bot-bot itu adalah sebagai tambahan kepada bot sedia ada yang dimiliki tentera, bomba, polis serta agensi-agensi yang lain termasuk kumpulan sukarelawan.
Beliau berkata bot tersebut adalah dalam bentuk yang kecil bagi memudahkan pergerakan di kawasan perumahan dan kampung untuk mengeluarkan mangsa-mangsa yang terperangkap.
Mohamed Thajudeen berkata, sebanyak 4,744 pusat pemindahan diwujudkan di seluruh negara tahun ini, tambahan sebanyak 179 buah pada tahun lepas, dengan kemampuan menampung kira-kira 1.27 juta orang.
Beliau berkata, persediaan menghadapi banjir sentiasa dipertingkatkan dari tahun ke setahun berdasarkan pengalaman sebelumnya.
Katanya, sebanyak RM129 juta dibelanjakan sejak awal tahun ini dalam menghadapi banjir di seluruh negara iaitu dari segi pembelian kelengkapan seperti bot.
“Apabila banjir berlaku kita lebih menumpukan tenaga, menggerakkan tenaga kerja yang ada untuk menguruskan banjir tu sendiri,” katanya.
No comments:
Post a Comment