BERNAMA
KUALA LUMPUR - Sebanyak 36 daripada 148 buah projek perumahan terbengkalai di seluruh negara sejak 1990 hingga 2009 berada di tahap kritikal dan sukar dipulihkan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha.
Bagaimanapun, katanya projek tersebut melibatkan pembinaan rumah kos mewah.
“Projek ini dianggap kritikal, sukar untuk mendapat kerjasama, persefahaman dan pengorbanan pihak pembeli rumah, pemaju dan bank yang terbabit namun usaha akan tetap diteruskan,” katanya.
Menurutnya, 49 projek perumahan kos rendah dan sederhana yang terbengkalai sedang dalam proses pemulihan oleh pemaju penyelamat dan pemaju asal.
“Ia melibatkan 23,082 unit rumah dan 16,634 pembeli,” katanya.
Sebelum itu semasa menjawab soalan Datuk Halimah Mohd Sadigue (BN-Tenggara), Cho Ha berkata, kerajaan memperuntukkan RM200 juta melalui kementeriannya bagi memulihkan projek perumahan terbengkalai.
Katanya, buat masa ini tidak wujud lagi rumah terbengkalai setelah pindaan Akta Perumahan dan Kerajaan Tempatan 1976 yang diluluskan pada 2007, terutama menetapkan supaya pemaju mengemukakan laporan kemajuan projek perumahan setiap enam bulan kepada kementerian.
Cho Ha berkata, sehingga 15 November 2009, kementerian turut menyenaraihitam 1,345 syarikat pemaju perumahan dan 4,569 anggota lembaga pengarahnya bagi projek yang dikategorikan sebagai ‘sakit’, projek terbengkalai, gagal bayar kompaun dan tidak mematuhi keputusan Tribunal Perumahan.
“Setakat ini, tidak ada pemaju perumahan didakwa di mahkamah kerana ini memerlukan kerjasama pembeli yang rela mendakwa mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment