Jumaat, 16 Mac 2018

Polis Sarawak tahan petani tular video penggal kepala di Facebook



Gambar Reuters.


KUCHING: Polis Sarawak menahan seorang pengguna Facebook yang dipercayai menularkan klip video memaparkan seorang wanita yang ditikam dan dipenggal kepalanya oleh seorang lelaki bertopeng.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Sarawak Datuk Dev Kumar berkata pasukan CID daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan diketuai Inspektor Norliana Md Faizal menahan suspek lelaki itu di rumahnya di Rumah Jerugo, Kampung Sagu, Sebuyau, pada 1.05 tengah hari ini.

Beliau berkata suspek berumur 21 tahun yang bekerja sebagai petani itu dibawa ke IPD Sri Aman petang ini untuk siasatan lanjut.

“Sebuah telefon bimbit yang kami percaya digunakan oleh suspek untuk memuatkan berita palsu itu turut dirampas,” katanya.

Dev Kumar berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Awal hari ini, polis dimaklumkan tentang klip video yang tular dalam media sosial dan ada antara pengguna Facebook melakukan pembohongan apabila mengaitkan video itu dengan kes pembunuhan di Sri Aman membabitkan seorang wanita yang kepalanya dijumpai di tebing sungai di Skait, Sri Aman.

Bagaimanapun, kata Dev Kumar, siasatan polis mengesahkan video itu berasal dari sebuah negara di Amerika Selatan dan tiada kaitan sama sekali dengan kes di Sri Aman.

Beliau memberi amaran kepada pengguna media sosial supaya berhenti daripada menyebarkan berita palsu yang boleh menjejaskan siasatan berhubung kes pembunuhan di Sri Aman.


Tiada ulasan: