Selasa, 13 Mac 2018

Pas dakwa BN-PH gagal dalam urustadbir baik ketika berkuasa



Pas dakwa BN-PH gagal dalam urustadbir baik ketika berkuasa



Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) disifatkan gagal melaksanakan tadbir urus yang baik walaupun berkuasa kerana pemimpin mereka terbabit dengan gejala rasuah dan salah guna kuasa berbanding pimpinan Pas sebagai mana didedahkan  Menteri di Jabatan Perdana Menteri semalam.

Nasrudin Hassan

Ketua Penerangannya Nasrudin Hassan berkata, dengan mencatatkan 71 peratus sektor penjawat awam juga turut terbabit dalam gejala rasuah dan salah guna kuasa yang direkodkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan BN sebagai sebuah parti pemerintah telah membina sistem yang merosakkan selama memerintah negara ini.

“BN dilihat sama ada gagal memberikan jawatan kepada manusia yang betul atau sistem BN telah merosakkan manusia yang pada awalnya betul.

“PH pula yang kononnya menjulang prinsip cekap, akauntabiliti dan telus juga tidak bebas daripada dikaitkan dengan kes rasuah. Berdasarkan rekod  sukar sekali PH akan bebas rasuah sekiranya diberikan mandat pemerintahan nanti.

“Oleh itu, dalam masalah ini, boleh dikatakan BN dan PH serupa walau tidak sama.,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan semalam di Dewan Rakyat berkenaan jumlah kertas siasatan yang dibuka oleh SPRM dari 2013 hingga 2017.

Direkodkan terdapat 71 kertas siasatan dibuka melibat ahli politik BN manakala 21 lagi membabitkan pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Tanpa dinyatakan secara khusus parti-parti yang terlibat sekaligus Pas menyifatkan partinya tidak termasuk dalam senarai yang didedahkan Low semalam.

Justeru kata Ahli Parlimen Temerloh ini lagi, sepanjang tempoh lima  tahun itu, belum ada pemimpin Pas yang disiasat oleh SPRM atas tuduhan rasuah dan lebih daripada itu, sepanjang 28 tahun mentadbir Kerajaan Negeri Kelantan, tiada seorang pun pemimpin Pas disabitkan atas kesalahan itu,” ujarnya lagi.

Jelasnya lagi keistimewaan parti berlandaskan Islam yang kini membentuk ‘Gagasan Sejahtera’ blok ketiga selepas BN dan PH itu mempunyai tadbirurus yang baik.

“Pas mumpunyai sumber manusia yang memiliki nilai kehambahan dan kepatuhan kepada Allah (ubudiyyah),kebertanggungjawaban terhadap agama dan tugasan (mas’uliyyah) serta kesungguhan dan kecekapan(itqan) yang tinggi.

“Sumber manusia yang memiliki tiga nilai inilah adalah syarat utama bagi melahirkan tadbir urus yang baik bagi sesebuah kerajaan.

“Pas yang sehingga kini masih bersih rekod SPRM, adalah bukti bahawa Pas layak dan bersedia untuk memimpin kerajaan dengan tadbir urus yang baik sekaligus memacu negara ke arah *Malaysia Sejahtera.” ujarnya

Tiada ulasan: